25 April, 2017

Pemerkasaan Institusi Pendidikan Islam


Dalam pembentangan Bajet 2017 yang lepas, saya telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta akan disalurkan kepada Sekolah Pondok Berdaftar dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) bagi tujuan penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah dan RM30 juta lagi bagi penyelarasan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara.

Pengumuman ini dibuat selaras dengan usaha kerajaan untuk mewujudkan pembangunan modal insan yang holistik dalam memastikan tiada aliran pendidikan yang ditinggalkan atau diabaikan.

Selain itu, saya percaya bahawa ibu-bapa yang memilih pendidikan agama untuk anak-anak mereka tidak perlu risau lagi dengan trade off dari segi infrastruktur atau kemudahan asas berbanding dengan sekolah aliran lain.

Sesungguhnya, kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan pilihan yang dibuat oleh ibu-bapa ini mampu melahirkan insan-insan yang cemerlang.

Insya-Allah dengan peruntukan yang diberi, pelajar-pelajar sekolah beraliran agama bakal menikmati persekitaran pembelajaran dan kemudahan yang selesa pada masa hadapan.

Secara keseluruhannya, sebanyak 819 buah sekolah akan menerima manfaat bantuan ini yang mana 129 terdiri daripada Sekolah Pondok Berdaftar, 99 Sekolah Menengah Agama Rakyat dan 591 Institusi Tahfiz Berdaftar. Negeri Kelantan menerima peruntukan terbanyak dengan hampir RM21 juta kepada 133 buah sekolah, diikuti dengan negeri Kedah di mana 104 buah sekolah bakal menerima lebih RM13 juta dan Selangor, RM9 juta untuk 206 buah sekolah.

Selain menyampaikan mock cheque kepada penerima-penerima pagi tadi, saya turut mengumumkan insentif sebanyak RM10,000 bagi institusi tahfiz swasta yang telah berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri.

Saya percaya bantuan-bantuan yang telah diumumkan menggariskan hasrat dan komitmen kerajaan dalam melaksanakan pembangunan negara berasaskan prinsip-prinsip maqasid syariah.

Marilah kita sama-sama berdoa agar usaha kerajaan untuk membangunkan Islam dan memperkasakan institusi pendidikan Islam ke tahap tertinggi akan terus dirahmati Allah SWT, Insya-Allah.