PENCAPAIAN SETERUSNYA BAGI BANDAR MALAYSIA

1. Sepanjang dekad yang lepas, Kuala Lumpur telah diiktiraf sebagai antara ibu kota utama di Asia. Ia adalah sebuah bandar yang mempunyai penduduk daripada pelbagai latar belakang, etnik dan budaya, yang seterusnya menarik pelancong dari seluruh dunia, dan semakin meningkat naik sebagai hab serantau dan antarabangsa untuk perniagaan.

2. Ini adalah hasil daripada tumpuan tidak berbelah bahagi kita terhadap pembangunan ekonomi, serta pelaburan besar yang telah kita lakukan dalam bidang infrastruktur dan pengangkutan, yang kedua-duanya membawa kesan ketara kepada Kuala Lumpur. Meskipun kita boleh berbangga dengan keadaan sedia ada bandar ini kini, saya mempunyai visi yang lebih besar – yakni sebuah bandar yang merupakan salah satu ibu kota utama dunia, memacu transformasi negara Malaysia ke hadapan.

3. Untuk itu, Bandar Malaysia penting bagi mencapai visi ini.

4. Sebagai tapak pembangunan terbesar di Malaysia, yang mempunyai kedudukan strategik utama di ibu negara, ia akan menjadi sebuah pusat bandar baharu bagi Kuala Lumpur – komuniti baharu yang berkualiti sebagai tempat tinggal orang muda dan keluarga, pusat baharu yang berkembang maju buat perniagaan kecil dan besar, serta destinasi menarik bagi semua, termasuk pelancong, untuk menikmati kesenian, kebudayaan dan segala apa yang Malaysia tawarkan.

5. Bukan sekadar pejabat dan menara kediaman, kita mahu Bandar Malaysia menjadi pemangkin untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi dan pekerjaan, termasuk bagi KL Internet City yang baharu – hab utama Zon Perdagangan Bebas Digital yang pertama di dunia. Kita ingin mewujudkan pembangunan ikonik untuk memacu pertumbuhan pelancongan. Dan kita ingin membina nukleus pengangkutan untuk Malaysia, dengan Bandar Malaysia sebagai pusat utama bagi Keretapi Laju Kuala Lumpur ke Singapura, laluan MRT, KTM Komuter, Airport Express Rail Link serta dua belas lebuh raya.

6. Berdasarkan kepada kepentingan projek ini, adalah wajar Bandar Malaysia mempunyai kepimpinan, rakan kongsi dan struktur pemilikan yang tepat bagi memastikan potensi penuhnya dapat direalisasikan – untuk menjaga kepentingan rakyat dan  negara.

7. Oleh itu, saya ingin mengumumkan pelantikan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah – Ketua Setiausaha Perbendaharaan – sebagai Pengerusi kedua-dua TRX City dan Bandar Malaysia. Beliau akan mengetuai pasukan yang bertanggungjawab secara keseluruhan bagi projek-projek dan menjana pendapatan bagi baki aset hartanah 1MDB. Selain itu, dalam usaha untuk memastikan bahawa negara dan rakyat mendapat manfaat sebanyak mungkin, Kementerian Kewangan akan mengekalkan pemilikan 100% Bandar Malaysia.

8. Dengan perkembangan ini, kerja-kerja Jawatankuasa Budiman – yang ditubuhkan pada tahun 2015 untuk menyelia program rasionalisasi 1MDB – ditamatkan.

9. TRX City dan Bandar Malaysia tidak lama lagi akan mengumumkan proses permintaan untuk cadangan (RFP), menjemput “penyataan minat” bagi peranan pemaju induk Bandar Malaysia. Penamatan perjanjian  sebelum ini adalah muktamad. Proses pemilihan untuk pemaju induk akan melibatkan kriteria yang ketat, termasuk prestasi yang telah terbukti, kemampuan menyiapkan projek, rekaan kandungan, dan keupayaan kewangan untuk menyiapkan projek sebesar ini. Kita akan memastikan bahawa tawaran yang mempunyai nilai tertinggi  diperolehi.

10. Saya yakin bahawa di bawah kepimpinan Tan Sri Irwan, prospek dan pembangunan Bandar Malaysia akan terus diperkukuhkan.