17 Oktober, 2016

Pengangkutan Awam Mentransformasi Negara


Sistem pengangkutan awam yang efisien adalah perintis kepada pertumbuhan sosio ekonomi sesebuah negara. Oleh itu, di bawah Program Transformasi Negara( NTP), saya telah menggariskan Mempertingkatkan Pengangkutan Awam di Bandar sebagai salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama.

Sejajar dengan itu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah ditubuhkan bagi mengemudi Rancangan Induk Pengangkutan Awam Negara, dengan tujuan memastikan pengangkutan awam darat negara sentiasa berkembang dan bertambah maju dari semasa ke semasa, selain menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama rakyat Malaysia.

Laporan Perjalanan 5 tahun Transformasi Pengangkutan Awam SPAD yang saya lancarkan di Simposium Pengangkutan Awam Darat 2016 hari ini mengandungi segala progres dan inisiatif yang telah dilakukan sejak SPAD ditubuhkan, mentransformasi pengangkutan awam negara ke arah yang lebih baik. Anda boleh muat turun laporan ini di:

English Version
Versi Bahasa Malaysia

Suka saya lihat bahawa sejajar dengan kemajuan yang telah kita kecapi di bawah NTP setakat ini, pengangkutan awam negara juga telah berkembang dengan pesat dan capai banyak kemajuan. Kita dapat melihat MRT sedang rancak dibina, malah fasa pertama laluan Sungai Buloh-Kajang dijangka beroperasi bermula Disember tahun ini dan seterusnya pada tahun hadapan secara berperingkat.

Baca lebih lanjut di https://www.najibrazak.com/bm/blog/mrt-masa-depan-pengangkutan-negara

Selain itu, kita juga telah mengembangkan laluan LRT dengan Projek Sambungan Laluan (LPE) dengan 15 stesen yang merentasi kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi seperti Subang Jaya, Glenmarie, Kinrara dan Puchong, manakala projek Transit Aliran Ringan 3 atau LRT3 pula dijangka akan berupaya menampung 74,000 pengguna sehari dan menghubungkan koridor Barat Lembah Kelang seperti Bandar Utama, Shah Alam dan Klang.

Baca lebih lanjut di https://www.najibrazak.com/bm/blog/transit-aliran-ringan-3-lrt3/

Kita juga telah menambah baik dan menyusun semula laluan bas berhenti-henti, bagi memperluas liputan laluan dan meningkatkan kekerapan perkhidmatan ini. Semenjak pelaksanaan inisiatif ini, kadar purata penumpang harian meningkat daripada 256,000 pada November 2015 kepada 320,000 pada Disember 2015.

gokl

Pada tahun 2012 pula, SPAD juga telah melancarkan perkhidmatan bas percuma GoKL bagi memudahkan perjalanan serta memberi alternatif pengangkutan yang selamat dan selesa buat warga Kuala Lumpur.

Dalam tinjauan yang dilakukan SPAD, penumpang harian GoKL meningkat naik 350% daripada 8,450 kepada 38,061 dan dijangka mencapai 58,562 menjelang 2020. Perkhidmatan bas percuma GoKL ini memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat Malaysia yang menggunakannya untuk kegiatan harian, malah turut menjadikan Kuala Lumpur lebih popular dalam kalangan pelancong antarabangsa. Rata-rata mereka memuji perkhidmatan GoKL, dengan laman TripAdvisor memberikan penarafan 4.5 bintang.

Tambahan kepada itu, projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur – Singapura yang kini dalam perancangan juga akan meningkatkan hubungan baik kedua-dua buah negara dan memberi manfaat secara langsung seperti hubungan perniagaan selain meningkatkan ekonomi penduduk yang tingal berdekatan dengan laluannya seperti di Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.

hsr

Baca lebih lanjut di https://www.najibrazak.com/bm/blog/mou-on-kl-singapore-high-speed-rail/

parknride

Untuk menggalakkan lagi penggunaan pengangkutan awam, kemudahan Park & Ride dengan lebih 10,000 tempat letak kereta telah disediakan di stesen-stesen seperti Terminal Bersepadu Selatan, LRT Gombak, KTM Shah Alam, ERL Salak Tinggi dan banyak lagi.

Walaupun masih banyak yang perlu kita lakukan dan capai untuk merealisasikan Rancangan Induk Pengangkutan Awam Negara, saya yakin kita di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran perkongsian pengangkutan awam 40 peratus menjelang 2030 di Semenanjung Malaysia.

Saya beri jaminan Kerajaan akan teruskan agenda mentransformasi pengangkutan awam yang maju, selamat dan mampu dinikmati oleh semua rakyat Malaysia.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles