Pentingnya Kesahihan Berita

By December 26, 2015 Blog

Baru-baru ini saya lihat ramai menyebarkan berita mengenai kejadian letupan bom di Petaling Jaya, yang kini kita semua tahu bukanlah apa yang sebenarnya berlaku.

Perkara seperti ini boleh dijadikan iktibar kepada semua untuk lebih berhati-hati dalam menyebarkan sebarang berita, terutamanya yang diterima melalui media sosial dan aplikasi mesej.

Adalah tanggungjawab kita untuk memastikan sebarang berita yang diterima adalah sahih dan tepat. Bagi umat Islam, Allah SWT berfirman dalam Al-Quran, Surah Al-Hujurat ayat 6, mafhumnya;

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Dari segi hubungan sesama kita rakyat Malaysia, berita tidak sahih yang disebarkan akan membawa kepada fitnah, dan sesungguhnya fitnah itu amat dahsyat, membawa kepada perpecahan serta mengganggu-gugat keharmonian yang telah kita bina bertahun lamanya.

Berita tidak sahih yang disebarkan akan mewujudkan suasana tidak tenteram atau “a climate of fear” dalam kalangan rakyat dan merosakkan reputasi negara di mata dunia. Implikasinya amat besar, terutamanya kepada ekonomi kita.

Hari ini, dengan adanya teknologi di tangan, amat mudah untuk sesiapa sahaja sebarkan maklumat, tetapi malangnya ramai yang tidak ambil peduli mengenai kesahihan maklumat atau berita yang diterima dan terus menyebarkannya.

Marilah kita lebih bertanggungjawab dalam menggunakan teknologi yang ada, dan Insya-Allah Malaysia akan kekal harmoni dan dalam peliharaan Allah SWT.