18 April, 2018

Perak Pasti Maju Di Bawah Barisan Nasional


Hari ini saya melawat dua daerah di Negeri Perak Darul Ridzuan, pagi di Teluk Intan dan di sebelah petang pula di Kuala Kangsar.

Kedua-dua daerah ini ada keunikan dan keistimewaannya yang tersendiri, satu daripadanya adalah makanan terkenal yang berasal dari situ. Di Teluk Intan ada Mi Rebus Mastan Ghani, kalau di Kuala Kangsar terkenal dengan Laksa Sarang Burung.

Tetapi lebih daripada juadah istimewa, kedua-dua daerah ini juga merupakan kawasan yang berjaya dan pesat membangun di bawah kepimpinan Barisan Nasional.

Saya ke Teluk Intan adalah untuk merasmikan pecah tanah PR1MA di sini, satu lagi janji ditepati oleh Barisan Nasional, di mana sebanyak 957 unit rumah PR1MA akan dibina di Jalan Changkat Jong, Bandar Teluk Intan dan dijual pada harga sekitar RM180,000 dan tidak melebihi RM250,000.

Selain daripada rumah PR1MA ini, saya juga mengumumkan – atas permintaan Datuk Seri Mah Siew Keong, anak jati Teluk Intan – bahawa kita akan turut membina tambahan 500 unit rumah PPR dalam dua fasa!

Ini juga adalah selaras dengan Manifesto Barisan Nasional yang mempunyai 28 akujanji berkaitan dengan agenda perumahan nasional, termasuk penubuhan sebuah entiti tunggal untuk menyelaras keseluruhan inisiatif perumahan mampu milik, dan penubuhan sebuah bank khas bagi menguruskan pinjaman Perumahan Mampu Milik dan Perumahan Kos Rendah yang berharga RM300,000 dan ke bawah, dan banyak lagi yang boleh anda baca di laman manifesto.

Selain itu Datuk Seri Mah Siew Keong juga ada memohon untuk sebuah UTC dibina di Teluk Intan, dan sukacita saya umumkan di majlis ini bahawa Insya-Allah, kita akan bina UTC dan juga pasang lampu limpah di stadium mini SMK Seri Kandi.

Saya juga mengambil kesempatan berpesan kepada orang Teluk Intan bahawa masa depan mereka akan lebih terjamin di bawah seseorang yang prihatin dan menjaga kepentingan mereka bersama-sama Barisan Nasional seperti yang telah Datuk Mah Siew Keong lakukan sebagai Ahli Parlimen di sini sejak 2014.

Saya ambil maklum bahawa pihak pembangkang telah menamakan calon mereka untuk Teluk Intan, iaitu Nga Kor Ming. Dia ini, bukan sahaja orang luar bukan berasal dari Teluk Intan, malah seseorang yang boleh kita katakan amat kasar dan angkuh perangainya.

Seperkara yang saya ingatkan kepada penduduk Teluk Intan – dan suka saya kongsikan juga bersama saudara saudari semua pembaca blog saya – calon pembangkang ini seperti partinya mengamalkan politik kebencian, negatif dan destruktif, kerana tak seperti Barisan Nasional yang ada track record cemerlang, pembangkang tiada apa-apa nak ditawarkan kecuali menakut-nakutkan rakyat dan menyebarkan cerita palsu.

Saya dan keluarga juga sering menjadi mangsa politik fitnah mereka. Satu kejadian yang masih saya ingat adalah ketika kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang ke-34, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah. Ketika itu saya berada di Beijing untuk lawatan rasmi.

Setelah menerima berita sedih ini, saya bersama isteri dan rakan-rakan rombongan berkumpul dalam sebuah bilik mesyuarat untuk membincangkan bagaimana untuk saya menyelesaikan urusan di Beijing secepat mungkin dan balik memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum.

Malang sekali foto perbincangan saya itu disebarkan oleh calon pembangkang Teluk Intan ini dengan berita palsu dan fitnah bahawa kononnya isteri saya menyertai Mesyuarat Kabinet, dan kemudiannya dikongsi ramai pengikut-pengikut dan konco-konconya sehingga menjadi viral. Akhirnya bila keluar kenyataan sebenar dan disaman barulah dia memadam posting itu.

Inilah satu daripada banyak contoh jenis politik kebencian, negatif dan menyebarkan fitnah yang diamalkan pembangkang. Politik sebeginikah yang kita nak dalam negara kita, atau yang kita inginkan menerajui kepemimpinan Malaysia? Nauzubillahiminzalik.

Jadi bila kita ingin membuat pilihan nanti, pilihlah wakil rakyat dan Kerajaan yang memberi faedah, manfaat dan keuntungan kepada kita dan kalau kita guna ukuran tersebut, tak syak lagi hanya Barisan Nasional sahaja mempunyai track record cemerlang, jauh lebih baik daripada pembangkang.

Seterusnya di sebelah petang di Kuala Kangsar, saya hadir ke Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat di Dewan Jubli Perak. Sambutan diberikan cukup hebat daripada rakyat dan jentera Barisan Nasional, sampai melimpah keluar dewan dan bergema laungan “Perak Negeriku, BN Pilihanku!”

Dalam ucapan saya di majlis ini, saya mengingatkan jentera Barisan Nasional bahawa sebagai sebuah parti kita mempunyai agenda cukup cantik dan terbaik untuk negara seperti yang terkandung dalam Manifesto Barisan Nasional yang saya bentangkan pada 7 April.

Malah, badan-badan penarafan dan think tank turut mengatakan bahawa Manifesto Barisan Nasional boleh memberi suntikan kepada ekonomi negara, manakala sebaliknya, mereka menyatakan bahawa manifesto pembangkang akan menjejaskan ekonomi negara.

Saya juga tak lupa kepada negeri Perak, di mana sebelum saya membentangkan Manifesto saya berbincang dengan Menteri Besar Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Abdul Kadir, mengenai apa yang diperlukan oleh Perak, dan beliau katakan sebuah lapangan terbang baharu.

Oleh itu, dalam Manifesto, saya umumkan bahawa kita akan bina lapangan terbang baharu lebih canggih di Seri Iskandar, dengan landasan besar supaya penerbangan dari luar negara turut boleh mendarat di sini. Insya-Allah, Perak pasti maju di bawah Barisan Nasional!

Selain itu, saya turut berpesan kepada semua jentera Barisan Nasional supaya menyokong siapa sahaja calon yang dipilih untuk mewakili parti. Ini adalah kerana Pilihanraya kali ini adalah untuk menentukan hala tuju masa depan. Ini bukan soal siapa jadi calon, tetapi kita perlu memikirkan masa depan anak-anak cucu dan negara kita.

Jangan khianati parti kita, kita mesti pandang ke hadapan kerana selagi ada parti kita boleh teruskan perjuangan. Saya sendiri tak kuat, malah dulu pemimpin 22 tahun itu pun tak kuat, yang menjadikan kita kuat adalah sokongan dan wala’ tidak berbelah bahagi daripada ahli-ahli akar umbi.

Dengan sokongan dan kesetiaan ini, saya berikrar akan bekerja sedaya upaya dengan rakan-rakan di barisan kepimpinan untuk jadikan Malaysia negara dalam kalangan terhebat di dunia!

Bersama BN, Hebatkan Negaraku!