Perbelanjaan Kerajaan Yang Dioptimumkan melalui NBOS

By November 27, 2017 Blog, Featured Articles

YAB Perdana Menteri menjawab pertanyaan YB Libaran, Datuk Juslie bin Ajirol berkenaan perbelanjaan Kerajaan yang berjaya dioptimumkan memberi manfaat kepada rakyat dengan cara paling cekap dan kos efektif hasil pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan. – Admin

SOALAN

Minta Menteri Kewangan menyatakan perbelanjaan Kerajaan yang berjaya dioptimumkan memberi manfaat kepada rakyat dengan cara paling cekap dan kos efektif hasil pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

JAWAPAN:

Tuan Yang Dipertua,

Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) merupakan satu strategi pengurusan yang kreatif dan inovatif diadaptasi dari Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy). NBOS mula dilaksanakan dalam perkhidmatan Kerajaan pada tahun 2009 bertujuan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian Kerajaan.

Semenjak dilancarkan sehingga sekarang terdapat lebih daripada 80 Jabatan/Agensi Kerajaan melaksanakan 115 inisiatif NBOS secara kolaboratif.

Hasil kerjasama dalam kalangan Jabatan/Agensi Kerajaan berjaya memecahkan benteng lohong atau silo yang sebelum ini memberi kesan kepada kelancaran program-program Kerajaan. Malah melalui kerjasama kreatif inisiatif NBOS, pelbagai Jabatan/Agensi Kerajaan akan lebih mengetahui fungsi masing-masing dengan lebih mendalam dan dengan itu dapat mengelakkan pertindihan fungsi-fungsi agensi.

Tuan Yang Dipertua,

Contoh terbaik NBOS adalah Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang merupakan pusat sehenti (One Stop Center) bagi pelbagai perkhidmatan Kerajaan, NGO dan swasta. Inisiatif UTC sangat unik memandangkan ia beroperasi menjangkau waktu operasi biasa (8.30 pagi – 10.00 malam) setiap hari termasuk hujung minggu.

Sesungguhnya, inisiatif NBOS ini telah membolehkan Kerajaan mengoptimumkan perbelanjaan yang memberi manfaat kepada rakyat dengan cara paling cekap dan kos efektif. Contohnya pada masa ini terdapat 20 UTC di seluruh negara dengan penjimatan pembangunan sebanyak RM2 bilion, memandangkan UTC dilaksanakan dengan mengubahsuai bangunan sedia ada serta tempoh pelaksanaan yang pantas secara purata selama 10 minggu. Sambutan dan permintaan rakyat terhadap perkhidmatan UTC amatlah menggalakkan, di mana sejak tahun 2013, UTC telah memberi perkhidmatan kepada lebih daripada 54 juta orang pengunjung.

Melalui inisiatif NBOS juga, Kerajaan dapat melaksanakan dasar-dasar negara dengan lebih efektif dengan kos yang lebih rendah berbanding cara konvensional. Contohnya melalui program Kerjasama Pasukan Polis-Tentera (Police-Military Collaboration) yang mana pendekatan aplikasi secara kreatif dan inovatif antara polis dan tentera, mampu menangani sebarang anasir yang cuba mengganggu-gugat kedaulatan negara pada masa hadapan. Melalui kerjasama NBOS ini juga, pasukan polis misalnya boleh menggunakan fasiliti pasukan tentera bagi tujuan latihan rondaan bersama di kawasan hot spot. Kerjasama ini sudah tentu dapat menjimatkan perbelanjaan Kerajaan bagi membina fasiliti dan pusat latihan baru.

Tuan Yang Dipertua,

Sudah tentu NBOS merupakan sebuah komitmen Kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat didahulukan. NBOS yang dibina berdasarkan kepada tiga prinsip tonggak iaini mesti berimpak tinggi, kos rendah dan pelaksanaan yang pantas, bagi membolehkan penyampaian projek dan perkhidmatan penting dengan segera yang memberi manfaat kepada rakyat. NBOS juga memupuk kerjasama yang lebih erat dan penyelarasan antara agensi Kerajaan dan meningkatkan penyertaan pelbagai pihak yang berkepentingan, termasuk sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

NBOS merupakan pemangkin penting kepada matlamat jangka panjang Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang mana usaha kita untuk menjadi antara 20 negara terbaik dunia harus direalisasikan. Inisiatif ini mengambarkan bahawa kreativiti dan inovasi adalah budaya yang harus ditanamkan di semua peringkat masyarakat dalam menuju aspirasi tersebut.

Sesungguhnya masa-masa mendatang bagi pembangunan Malaysia akan penuh dengan cabaran dan peluang baru yang juga perlu di hadapi dengan perspektif pemikiran dan strategi yang baru. Perubahan cara dan pemikiran inilah yang sebenarnya akan memastikan agenda Transformasi Nasional dapat menjadi kenyataan nanti.

Sekian, terima kasih.