9 Oktober, 2014

Perdana Menteri Menekankan Pengurangan Defisit Menjelang Bajet 2015


Saya menekankan kepentingan meneruskan langkah-langkah kerajaan dalam mengurangkan defisit dan memastikan negara mencapai bajet yang seimbang menjelang 2020.

Kerajaan kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran defisit fiskal, antaranya termasuk pengurangan defisit kepada 3.5% menjelang hujung tahun ini dan 3% pada penghujung 2015.

Saya percaya kita tidak sepatutnya meninggalkan beban hutang kepada generasi akan datang. Kita mesti mewariskan ekonomi yang kukuh dengan hutang yang kurang. Kita harus melaksanakan apa yang betul untuk ekonomi Malaysia, bukannya apa yang popular. Dengan berbuat demikian, kita dapat memastikan kemakmuran jangka panjang untuk rakyat.

Kita perlu kekal komited terhadap rasionalisasi subsidi, kerana subsidi bahan api kita telah meningkat daripada RM1.6 bilion setahun pada tahun 2002, kepada RM2 bilion sebulan pada tahun 2014. Untuk jangka masa panjang, tahap subsidi sebegini adalah tidak mampan.

Bajet 2015 akan menjadi bajet “pro-rakyat”, dan merangkumi langkah-langkah untuk meredakan keresahan terhadap peningkatan kos sara hidup. Bajet 2015 akan membantu mempertingkatkan peluang pekerjaan, menambahbaik mutu pendidikan dan mewujudkan lebih banyak perumahan mampu milik.

BR1M akan berterusan kerana ia adalah sebahagian daripada manifesto Kerajaan. Ia juga adalah sebahagian daripada program rasionalisasi subsidi. Dengan beralih daripada subsidi pukal kepada subsidi tersasar, kita akan mendapat lebih banyak manfaat.

Shares Share Kategori : Bajet2015, Blog