10 Disember, 2017

Perhimpunan Agung UMNO Ke-71


Alhamdulillah, dengan rahmat Yang Maha Esa, selesailah sudah Perhimpunan Agung UMNO ke-71 semalam yang berjalan dengan cukup lancar dan berjaya.

Pada hemat saya, Perhimpunan Agung UMNO ke-71 ini barang kali boleh dikatakan sebagai antara yang terbaik pernah diadakan, dari segi mood, sentimen dan juga disiplin yang cukup baik.

Saya juga kagum melihat kehadiran begitu ramai yang datang daripada segenap pelusuk tanah air, di dalam dewan utama dan juga yang berada di luar dewan.

Ramai antara mereka ini menyaksikan persidangan melalui layar dan skrin LED di luar, kebanyakannya kaum ibu kita, yang duduk bersimpuh bersandar di dinding.

Mereka ini tidak hendakkan apa-apa. Mereka ini adalah penyokong setia dan tegar UMNO.

Yang mereka inginkan cuma bertemu dan bersua muka dengan para pemimpin, yang mereka mahukan adalah harapan melihat UMNO terus berkuasa sebagai parti yang memimpin bumi Malaysia yang tercinta ini!

Ini yang menyentuh hati saya, bila saya melihat wajah mereka, yang datang dari kampung-kampung dan bandar-bandar semata-mata untuk menjadikan Perhimpunan Agung UMNO kali ini perhimpunan yang menunjukkan kepada dunia luar, kepada parti pembangkang, bahawa kita parti yang gagah perkasa! Jangan main-main dengan UMNO!

Saya juga suka menekankan bahawa satu lagi bukti kebersamaan dan kekukuhan parti UMNO adalah apabila kedua-dua jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, dan usul bagi perkara ini dibawa oleh perwakilan, saya tidak langsung campur tangan.

Di kesempatan ini, saya juga menyatakan penghargaan kepada Timbalan Presiden dan juga rakan saya sejak 1986, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi yang cukup setia, akrab dan sebati dengan saya.

Dalam masa sama, saya turut menyampaikan pesanan kepada perwakilan dalam persediaan kita menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Yang pertama, saya minta semua di peringkat Bahagian selesaikan sebarang masalah yang ada melalui musyawarah dan berbekalkan semangat kekeluargaan UMNO.

Kedua, perwakilan perlu terima keputusan mengenai siapa yang menjadi calon, kerana pemilihan calon ini adalah berdasarkan keputusan parti, bukan keputusan hati. Kita ingin pilih calon yang benar-benar mampu menang dan disukai ramai.

Ketiga, saya meminta semua ahli UMNO, kita berjuang dan bertempur dengan penuh semangat dan keberanian untuk pastikan kemenangan besar. Momentum kini berada dengan kita, kita telah buktikan kita ada agenda jelas yang telah kita susun untuk Malaysia.

Beralih kepada isu Baitulmaqdis, yang menyentuh hati dan perasaan umat Islam seluruh dunia, dan juga menjadi topik yang sering diutarakan perwakilan dalam persidangan kali ini. Saya memandang cukup berat isu ini.

Saya menerima panggilan telefon daripada Presiden Erdogan beberapa hari yang lalu, dan beliau meminta saya hadir di Persidangan Khas OIC kerana menurut beliau, suara Malaysia cukup penting dalam isu Baitulmaqdis ini.

Mana mungkin tanah suci, yang ketiga martabatnya dalam Islam, tergadai, terhina, ditekan oleh orang lain! Umat Islam Malaysia akan tentang habis-habisan, sampai bila-bila pun kita tidak akan terima cadangan ini!

Insya-Allah, suara ahli-ahli UMNO dan juga umat Islam di seluruh Malaysia, akan saya bawa dalam Persidangan Khas OIC pada 13 Disember ini di Istanbul.

Berbalik kepada hal parti dan pilihanraya, saya berpesan kepada perwakilan bahawa perkara paling penting yang perlu mereka bawa balik daripada PAU kali ini adalah untuk mereka ceritakan dan terangkan kepada semua di kawasan masing-masing, mengenai kejayaan dan pembangunan yang menjadi bukti kepimpinan dan usaha berterusan Kerajaan Barisan Nasional dan UMNO.

Daripada agenda Melayu dan Bumiputera yang terus kita perjuangkan sebagai Agenda Nasional, kepada pembinaan pelbagai InfraRakyat yang memberi manfaat untuk penduduk sama ada di Utara mahupun Selatan, Sabah dan juga Sarawak, tiada yang ketinggalan.

Nyatakan kepada semua, bahawa UMNO bukan sahaja parti untuk Melayu dan Bumiputera, tetapi parti untuk semua rakyat Malaysia. UMNO-lah parti yang tepat untuk terus membawa Malaysia ke masa depan gemilang yang kita semua dambakan, bukan pihak pembangkang yang kuchalana dan cacamarba.

Di penutup penulisan kali ini, ingin saya kongsikan semboyan penutup ucapan penggulungan saya semalam dengan anda semua:

Dengan semangat yang membara dan api perjuangan yang semakin menyala-nyala, tugas kita kini hanyalah satu.

Jagalah amanat dan wasiat ini sampai bila-bila. Tiga azimat menjadi pendinding, kekebalan dan kekuatan dalam parti berkaromah ini.

Bersatu, bersetia dan berkhidmat.

Walau dikerat kaki dan tangan, panji-panji UMNO pasti terus dikibarkan. Sekali pun gamat musuh menyerang, walau diasak segenap cabaran, Matlamat UMNO dan Barisan Nasional, kita akan terus tetap genggam seerat-eratnya!

Dan gigitlah nawaitu parti bertuah ini sekuat-kuatnya dengan taring-taring dan geraham yang mencengkam.

Bangkit dan bangunlah, bangkit dan bangunlah saudara-saudaraku!

Bersumpah dan berjanjilah, bersama saya bersetia dan berikrar;

Salam UMNO untuk Malaysia, salam rahmat negara bangsa.

Jihad UMNO jihad yang mulia, jangan undur walau seinci, jangan gentar walau sezarah!

Bingkaslah, perang kali ini, kita gempur habis-habisan!

Pilihan raya kali ini, pasti kita menang!

Dan Putrajaya tetap kita pertahankan!

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

Hidup UMNO! Hidup Barisan! Hidup Malaysia!

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles, Speeches