17 November, 2015

Perjumpaan Dua Hala Bersama Presiden Xi Jinping


Dalam pertemuan bersama Presiden China, Xi Jinping di Manila, Filipina sebentar tadi, kami bersetuju bahawa hubungan antara Malaysia dan China kini berada pada tahap paling tinggi dalam sejarah.

Presiden Xi menyuarakan China akan memberi keutamaan tinggi kepada hubungan dengan Malaysia serta terus memberi sokongan kepada usaha memperkasakan hubungan strategik kedua-dua negara.

Presiden Xi juga telah memberi penjelasan mengenai reformasi ekonomi yang sedang dilaksanakan di negara China.

Antara perkara penting yang disentuh adalah hasrat China untuk menggandakan saiz ekonomi dan pendapatan per kapita mereka menjelang tahun 2020 berdasarkan penanda aras 2010.

Walaupun kadar pertumbuhan ekonomi China kini lebih perlahan tetapi beliau yakin China boleh mencapai kadar 7 peratus bagi tahun ini.

Presiden Xi juga melahirkan penghargaan kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan ingin terlibat sama dalam membabitkan ASEAN sebagai sebuah komuniti ekonomi.

Oleh itu, beliau ingin melihat supaya Komuniti ASEAN dapat dimuktamadkan segera.

Selain itu, China juga menunjukkan minat yang tinggi terhadap proses membida Projek Keretapi Laju Malaysia-Singapura.

Presiden Xi turut menyambut baik hasrat saya untuk menerima lebih ramai pelancong China. Beliau menyuarakan pandangan bahawa kesan MH370 mungkin sudah berlalu dan berharap lebih ramai pelancong China melawat Malaysia.

Mengenai isu Laut China Selatan, walaupun ia sebuah isu yang kompleks, China menghargai pendekatan yang diambil Malaysia melalui ‘diplomasi senyap’.

Presiden Xi selesa dengan pendekatan Malaysia yang tidak berkonfrontasi tetapi secara diplomasi dalam menyelesaikan isu.

Keutamaan kita ialah tidak membangkitkan ketegangan tetapi sebaliknya menekankan pentingnya menjaga keamanan dan keharmonian.