Perkongsian Bagi Perubahan, Mendepani Cabaran Dunia

By November 15, 2017 Blog, Featured Articles

Sidang Kemuncak ASEAN-31 yang berakhir semalam cukup bermakna dan signifikan kerana ia adalah ulang tahun ASEAN ke-50 dan penanda aras kepada kejayaan ASEAN sebagai sebuah pertubuhan serantau. Anda boleh baca blog saya sebelum ini mengenai hari pertama ASEAN di https://www.najibrazak.com/bm/blog/sidang-kemuncak-asean-ke-31/.

Kehadiran pemimpin-pemimpin utama dunia juga bukti pengiktirafan dunia terhadap ASEAN, dan saya anggap ini antara kejayaan utama kita, pengiktirafan sebagai sebuah pertubuhan strategik penting yang memerlukan kesemua kuasa besar dunia mewujudkan hubungan yang baik dengan kita.

Dalam masa setahun yang telah berlalu ini juga kita telah mencapai banyak kejayaan, antaranya kita telah selesai dan memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas dan Perjanjian Pelaburan bersama Hong Kong, dan ditandatangani pada persidangan kali ini.

Kedua, kita juga telah menandatangani persetujuan bersama berkenaan hak dan kepentingan kebajikan pekerja asing.

Selain daripada itu, dalam persidangan semalam juga, negara China telah bersetuju supaya tahun hadapan mereka mengadakan rundingan untuk memuktamadkan Code of Conduct Framework di Laut China Selatan.

Ini adalah perkembangan yang positif berkaitan isu Laut China Selatan, dan isu ini tidak begitu tegang berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Persidangan pada kali ini juga memperlihatkan persetujuan pada dasarnya terhadap TPP-11. Beberapa aspek akan dimuktamadkan selepas ini dan Insya-Allah, dapat ditandatangani tahun hadapan.

Tambahan kepada itu, satu lagi kejayaan dalam persidangan ini adalah perjuangan Malaysia dalam isu Rohingya dan negeri Rakhine – banyak negara membangkitkan isu ini dalam ucapan mereka terutamanya dalam peringkat Sidang Kemuncak Asia Timur.

Saya juga berbual bersama Setiausaha Luar Amerika Syarikat, Rex W. Tillerson dan beliau akan melawat negara Myanmar untuk melihat keadaan dan berbincang dengan Myanmar bagi menyelesaikan isu ini.

Saya menekankan juga bahawa isu ini bukan sahaja isu kemanusiaan, tetapi berpotensi untuk menjadi isu keselamatan dan boleh menjadi satu kawasan yang mana IS dan DAESH boleh bertapak kelak.

Seterusnya, dalam perjumpaan bersama Kesatuan Eropah, saya telah dengan tegas menyatakan langkah mereka mengaitkan pembangunan industri kelapa sawit di Malaysia dengan penyahhutanan, dan rancangan mereka untuk melabelkan produk-produk yang ada unsur ataupun bahan sawit akan mengakibatkan kesan yang buruk kepada industri kelapa sawit, menjejaskan kepentingan 600 ribu pekebun kecil di Malaysia.

Perkara ini juga dibangkitkan oleh Presiden Indonesia, dan saya telah berbincang dengan Presiden Jokowi supaya kami boleh bersama-sama membangkitkan isu ini, kerana di Indonesia ada lebih 17.5 juta pekebun yang berisiko terjejas, dan ramai lagi rakyat negara-negara ASEAN yang akan menerima kesan buruk dan menggangu sumber pendapatan dan periuk nasi mereka. Saya maklumkan kepada Presiden EU dan beliau memandang serius perkara ini.

Berkenaan isu Korea Utara, kita berkongsi pandangan serupa bersama komuniti antarabangsa, dan ini antara isu paling serius buat banyak negara, bukan sahaja antara Korea Selatan dan Korea Utara.  Apa-apa konflik yang melibatkan kuasa atau bom nuklear akan membawa kesan kepada seluruh dunia.

Oleh itu, Malaysia seperti seluruh dunia, bersetuju bahawa Korea Utara perlu menurut kehendak komuniti antarabangsa untuk menghentikan program nuklear dan balistik mereka, dan semua resolusi UNSC harus dipatuhi, dan negara-negara dunia juga harus mematuhi sekatan oleh UNSC terhadap Korea Utara.

Secara keseluruhannya, saya gembira Sidang Kemuncak kali ini telah banyak membuahkan hasil untuk bukan sahaja Malaysia tetapi juga ASEAN, dan Insya-Allah kita akan bersama dapat merealisasikan matlamat ASEAN menjadi rantau yang stabil dan makmur buat semua.