27 Februari, 2017

Pertemuan Bersama Raja Salman


Alhamdulillah, Malaysia bertuah menjadi negara Asia Tenggara pertama untuk menerima Raja Arab Saudi, Raja Salman, Penjaga Dua Masjid Suci dalam lawatan ke rantau ini.

Dalam mesyuarat empat mata saya bersama Raja Salman, saya dapat rumuskan bahawa perbincangan amat produktif dan mesra, meliputi pelbagai perkara berkaitan hubungan dua hala mahu pun isu-isu antarabangsa.

Raja Salman menerima pendirian Malaysia berkaitan isu-isu antarabangsa khususnya yang melibatkan tindakan kita menjelaskan Islam yang sebenar atau Authentic Islam, selain memerangi keganasan.

Kedua-dua negara setuju bahawa kerjasama untuk menentang keganasan perlulah dipertingkatkan.Disamping itu kerjasama dalam bidang ketenteraan juga ditekankan oleh Raja Salman. Kita akan memperkukuhkan lagi kerjasama keselamatan dan pertahanan antara kedua-dua negara.

Dari segi peranan Raja Salman sebagai Penjaga Dua Masjid Suci, pengurusan jemaah Haji adalah satu perkara yang amat penting dan sentiasa diberi perhatian yang berat oleh Kerajaan Arab Saudi.

Malaysia berterima kasih atas penambahan kuota sehingga lebih kurang 30 ribu yang diberikan kepada jemaah Malaysia tahun ini. Mengenai permintaan kita untuk menambah kuota, Raja Salman telah memberikan respon positif, dan akan diberi pertimbangan secara lebih mendalam oleh Kerajaan Arab Saudi.

Begitu juga permohonan Malaysia untuk mewujudkan 2 pusat jemaah haji, satu berdekatan Masjidi Haram di Mekah dan satu lagi di Masjid Nabawi di Madinah. Kedua-dua permohonan itu akan dipertimbangkan selanjutnya oleh Kerajaan Arab Saudi.

Dalam konteks undang-undang mereka, orang asing tidak boleh memiliki tanah. Oleh itu, mungkin kita boleh menyewa jangka panjang atau mencari alternatif lain, ini akan diteliti oleh pihak Arab Saudi.

Seperkara yang amat besar, yang boleh dikatakan paling menarik perhatian dalam lawatan ini ialah keputusan yang telah dicapai antara ARAMCO dan PETRONAS. Pada pagi tadi, perbincangan dan rundingan telah selesai dan telah dapat dimuktamadkan.

Hari esok akan diadakan majlis menandatangani usahasama antara PETRONAS dan ARAMCO untuk memaju dan seterusnya mengendalikan sebuah kilang penapis minyak yang besar di Pengerang Johor di bawah Projek Rapid. Nilai pelaburan ARAMCO adalah sebanyak USD 7 bilion.

Ini adalah satu jumlah pelaburan yang sangat besar dan signifikan, dan oleh kerana majlis ini akan diadakan pada hari esok, maka maklumat selanjutnya akan diumum kemudian. Saya cuma ingin mengesahkan bahawa perjanjian telah dicapai, dan Raja Salman begitu berpuas hati dan rasa gembira bahawa perjanjian ini akan dimeterai esok.

Selain itu, kami juga ada berbincang tentang perkembangan di Timur Tengah dan juga hubungan negara Islam dengan kuasa-kuasa besar. Insya-Allah, persahabatan ini hanya akan bertambah akrab dari masa ke masa.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles