Pertemuan dengan Pelarian Syria dan Lubnan

By December 9, 2015 Blog

Pagi ini saya dapat bertemu dengan warga Syria dan Lubnan; Ali Abdulnaser, Mohamed Ibrahim dan Fatima yang telah beberapa tahun menetap dan bekerja di Malaysia manakala keluarga mereka pula berstatus pelarian akibat perang yang melanda negara mereka.

Ali menceritakan kepada saya bahawa rumah keluarga serta jiran-jiran dia di Syria telah dibom satu-persatu, membuatkan ahli keluarga terpaksa melarikan diri ke kem pelarian di sempadan Turki.

Mohamed pula mempunyai adik, Husam yang sedang belajar di peringkat ijazah dalam bidang ekonomi pada tahun akhir, tetapi tidak dapat menghabiskan pelajaran kerana keadaan perang di Syria. Insya-Allah, mungkin bantuan dapat kita berikan dari segi pemindahan kredit supaya Husam boleh menyambung pelajarannya di sini.

Fatima mengajar bahasa Inggeris, dan menyatakan Malaysia jadi pilihan kerana rakyat kita yang berbudi bahasa dan amat ramah menyambut mereka sebagai tetamu

Alhamdulillah, berkat usaha kita untuk membawa masuk keluarga mereka dari kem pelarian atas nama membantu mereka yang dilanda musibah, ketiga-tiga mereka berjaya disatukan dengan keluarga masing-masing di Malaysia.

Mereka juga melahirkan rasa syukur mereka dapat berada di sini, sebuah negara yang bagi mereka amat bertuah kerana dikurniakan Allah SWT kedamaian dan keamanan.

Bagi Ali, Mohamed dan Fatima, yang negara mereka dilanda perang dan kehilangan nyawa tidak berdosa berlaku setiap hari, ayat “Alhamdulillah Malaysia Masih Aman” adalah sebuah pengertian yang amat mendalam maksudnya dan sebuah rahmat kurnian Ilahi, bukanlah ayat yang digunakan secara sinis untuk memperkecilkan negara sendiri.

3 keluarga ini sebahagian daripada banyak keluarga-keluarga pelarian lain yang telah kita bantu. Saya doakan mereka dapat memulakan hidup baru di Malaysia.

Insya-Allah, Kerajaan juga akan terus berusaha untuk membantu lebih ramai lagi pelarian-pelarian lain yang senasib dengan mereka.

AsGGqr0aEjmFNVAl4GQSQct4nibEBw4ZsfzT4yo-2k0w

Au7Vas1445jjCjy0MLrociDmW2_sIFvzfaJ34q1-sEV7

AjmHCBLim_DflY1MXUobEik6l17REH3VoVhR-_sDCrv1