Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1437H/2016M YAB Perdana Menteri

PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 2016
OLEH YAB. DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA

BERTEMAKAN: MENJAMIN KEBAJIKAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

Bismillahirrahmanirrahim,

Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa biHi nasta’in,

Selawat dan Salam ke atas Muhammad, Rasul junjungan, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Aidilfitri dan Salam 1Malaysia,

1. Dimulai kalam, takbir bergema penuh kesyahduan, berlatarkan tahmid dilafaz mendayu-dayu, sebagai menandakan tibanya detik kemenangan, meraikan Hari Lebaran yang ditunggu-tunggu.

Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillah hil Hamd.

2. Sesungguhnya, Syawal itu datang, setelah berlalunya Ramadhan, bulan kemuliaan, yang dipenuhi pula dengan limpahan keberkatan.

3. Justeru, setelah sebulan kita berpuasa, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, bahkan kita sebenarnya telah berjihad dalam mengekang hawa nafsu, mendidik sanubari agar menjadi insan yang lebih sempurna, sambil menyemai perasaan belas kasihan, kepada golongan susah yang serba kekurangan, seringkali pula dihimpit kesukaran dalam kehidupan.

Para Muslimin dan Muslimat serta Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

4. Pada kesempatan perutusan Hari Raya ini, ada 5 perkara yang ingin saya nyata dan ketengahkan:

5. Pertamanya, soal Keamanan. Dalam hal ini, setinggi-tinggi syukur kepada Allah, kerana sejak hampir 59 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, kita bertuah kerana masih terus hidup dalam rukun dan damai.

6. Jika tidak, bagaimana mungkin rakyat keseluruhannya dapat merayakan Aidilfitri dengan perasaan yang tenang, selamat dan dalam suasana penuh kegirangan.

7. Lalu, marilah kita berikan sebanyak-banyak penghargaan dan sanjungan kepada para perajurit serta anggota keselamatan, di atas jasa serta pengorbanan mereka siang dan malam, yang bertugas di serata ceruk negara mahupun di perbatasan, termasuklah di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah atau ESSZONE.

8. Berbanding dengan senario dunia pula, kita berasa simpati, khususnya dengan nasib saudara-saudara seakidah kita di Timur Tengah, yang masih tidak menentu. Malah, tanahair mereka sedang bergolak, dalam kancah peperangan, yang belum tertampaknya cahaya kedamaian.

9. Jadinya, di sudut kemanusiaan, pada tahun sudah, Kerajaan Malaysia telah memberi komitmen akan mengambil sejumlah 3,000 orang pelarian Syria ke negara ini, secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun. Setakat ini, sebahagian mereka, telah pun berada di negara kita.

10. Atas nama ukhuwah, dan persaudaraan yang tulen pula, Malaysia akan terus beristiqamah dalam membela serta memperjuangkan nasib golongan tertindas di serata dunia sedaya mungkin, sebagaimana bantuan sewajarnya yang telah dihulurkan kepada rakyat Palestin serta kaum pelarian Rohingya.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

11. Perkara kedua, adalah tentang Perpaduan. Menyentuh soal ini, sejak puluhan tahun, sama ada sedar atau tidak, bermula dari Semenanjung, membawa kepada Sabah dan Sarawak, dengan kumpulan etniknya yang berbagai-bagai, masyarakat majmuk berbilang bangsa, agama serta budaya, telah menjadi tiang seri dan aset terpenting pembikinan serta kemajuan negara kita.

12. Sebetulnya pun, bersatu dalam kepelbagaian, menjadi azimat yang dipegang menuju mercu kejayaan. Bahkan, uniknya sebuah Malaysia ini, dapat menyambut 6 perayaan utama dalam takwim persekutuan yang diraikan oleh seluruh masyarakat.

13. Namun begitu, kita berasa sedih pabila timbulnya hasutan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, tidak kiralah atas nama politik atau apa pun, sehingga boleh memecah-belahkan perpaduan dan keharmonian yang sekian lama wujud.

14. Oleh itu, kita berharap agar rakyat bersikap rasional dan boleh menepis unsur-unsur negatif, tohmahan mahupun fitnah yang tidak berasas sehingga mampu memporak-perandakan keadaan serta memusnahkan segala yang telah terbina.

Para Muslimin dan Muslimat Sekalian,

15. Perkara ketiga adalah Syiar Islam. Menjengah sudut ini, di Malaysia, telah termaktub melalui Perkara 3 Perlembagaan, Islam merupakan Agama Persekutuan. Alhamdulillah, pengamalannya di negara ini, telah berkembang dengan begitu dinamik sejak 6 dekad, dengan berpegang kepada jalan kesederhanaan.

16. Malaysia sekarang ini, dikenali di seantero dunia sebagai sebuah negara Islam yang berdaya maju lagi progresif. Berasaskan kepada prinsip wasatiyyah, segala tindak tanduk kita, mengambil pendekatan yang tidak terlalu ekstrem dan bukan pula terlalu liberal. Bahkan memenuhi tuntutan kerangka Maqasid Syariah, yang dianjurkan oleh para Ulama dalam keintelektualan Islam.

17. Akan tetapi, di sana sini, adakalanya Islam telah disalahertikan oleh sesetengah pihak, sehingga mendatangkan prasangka dan ketakutan kepada orang lain, yang menyebabkan terjadinya apa yang disebut sebagai Islamofobia.

18. Sedangkan, pada hemah saya, ketakutan itu, terutama di kalangan dunia Barat, berpunca daripada salah faham mereka terhadap ajaran sebenar Islam dan daripada sudut-sudut tertentu pula, kita perlu meletakkan kesalahan kepada segelintir umat Islam sendiri, yang mempamerkan contoh-contoh salah dan tidak menggambarkan Islam, seperti pengebom berani mati, Militan IS dan perkembangan ideologi kemelampauan atau ekstremisme.

19. Lantaran itu, Malaysia berpendirian, mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam pengganas yang telah berlaku baru-baru ini, di beberapa penjuru dunia antaranya Indonesia, Belgium, Perancis dan Turki serta termutakhir di Bangladesh.

20. Sehubungan itu, Kerajaan akan sentiasa memantau, agar di Malaysia, tidak berkembangnya sebarang pengaruh ideologi mahupun ajaran dan amalan yang menyimpang daripada Islam yang sebenar lagi sejati.

21. Pucuk pangkalnya, sebagai sebuah negara Islam yang sedang dijadikan rujukan atau role model, bukan sahaja di rantau ini, bahkan di persada antarabangsa, Malaysia telah menduduki tangga pertama Petunjuk Ekonomi Global Islam 2014-2015, daripada senarai 70 buah negara.

22. Malahan, berikutan daripada hasil laporan kali pertama, sesudah Indeks Syariah dilancarkan pada tahun 2015, Malaysia telah memperoleh skor keseluruhan dalam pelbagai bidang melebihi markah 75 peratus dan kita yakin ia akan meningkat dari masa ke semasa.

Para Muslimin dan Muslimat serta Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

23. Perkara keempat adalah tentang Ekonomi Negara. Mutakhir ini, meskipun kita masih berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, melalui laporan yang dikeluarkan oleh Bank Negara, KDNK pada suku pertama tahun ini, tetap berjaya mencatat perkembangan sebanyak 4.2 peratus.

24. Terbaru pula, Bank Dunia juga mengunjurkan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan KDNK tumbuh di paras 4.4 peratus pada tahun 2016.

25. Selanjutnya, Malaysia terus menerima sekian banyak Pengiktirafan Badan-Badan dan Agensi-Agensi Berwibawa Luar Negara.

26. Antaranya, bagi Global Competitiveness Report oleh World Economic Forum, Malaysia berada di tangga ke-18 pada tahun 2015.

27. Menurut Financial Market Development oleh World Economic Forum Global Competitiveness Ranking 2015-2016 pula, kita berada di tangga ke-9, sebagai satu-satunya negara yang tersenarai dalam top-10 emerging market.

28. Ternyata, kesemuanya ini menggambarkan bahawa, ekonomi Malaysia kekal kukuh di landasan yang sihat dan betul, dalam menuju gerbang negara High Income Advanced Economy.

Para Muslimin dan Muslimat serta Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

29. Perkara kelima, berkait Kelangsungan usaha gigih perjuangan Barisan Nasional dalam memacu kemajuan negara dan membela nasib rakyat.

30. Sememangnya pun, di atas kanvas yang lebih besar atau the bigger picture dalam memeta halatuju negara, memerlukan kepada perencanaan, perancangan dan pelaksanaan yang rapi oleh pihak Kerajaan yang ada pada hari ini.

31. Pokoknya, Kerajaan yang mentadbir, telah membukti dan memperlihatkan prestasi serta rekod pencapaian yang mampu diperbanggakan.

32. Lantas, kita bersyukur tidak terhingga, di sebalik dugaan dan cabaran yang diterima oleh Kerajaan, rakyat menyedari dan terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional di Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-11 dan Pilihanraya Kecil di Parlimen Sungai Besar serta Kuala Kangsar baru-baru ini, dengan kemenangan yang besar.

33. Inilah kaedah yang betul bagi rakyat memilih Kerajaan secara sah dalam sesebuah negara berdemokrasi seperti Malaysia dan bukannya sesuka hati membuat referendum atau melalui deklarasi yang tidak sah menurut lunas-lunas perlembagaan.

34. Meskipun begitu, Kerajaan tidak bersifat alpa, sebaliknya terus mendengar keluh kesah rakyat terbanyak tentang bermacam kebajikan ramai, terutamanya isu kos sara hidup.

35. Berkait dengan ini, terlancarnya projek sambungan laluan LRT Ampang dan Kelana Jaya, akan memberi banyak manfaat kepada sekurang-kurangnya 300 ribu pengguna, seraya menjimatkan perbelanjaan seharian mereka.

36. Begitu juga projek-projek bertujuan untuk meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat seperti pembinaan Pan Borneo Highway dan Rumah Mampu Milik, adalah dekat di hati saya serta terus menjadi keutamaan Kerajaan.

37. Apatah lagi sempena menyambut hari yang mulia ini, pemberian BR1M telah dipercepatkan. Begitulah juga bantuan khas Hari Raya kepada penjawat awam, pesara Kerajaan, pekebun kecil dan peneroka. Moga-moga sumbangan ini membawa keceriaan dan perkongsian rasa keseronokan serta kemeriahan di hari raya.

38. Pastinya jua, bagi kira-kira 1.6 juta penjawat awam, Syawal kali ini membawa perkhabaran yang mengembirakan, kerana Kerajaan telah bersetuju bahawa, berkuatkuasa 1 Julai 2016, semua akan menikmati kenaikan gaji tahunan khas, serentak dengan pelaksanaan gaji minimum 1,200 ringgit.

Para Muslimin dan Muslimat Yang Dikasihi Sekalian,

39. Di hari baik, bulan baik ini, saya ingin menyeru agar kita sesama bangsa dan agama, mengambil pedoman daripada pepatah lama, buanglah yang keruh, ambil-lah yang jernih, dengan kembali kepada fitrah.

40. Jadilah hamba Allah yang Berjiwa Besar dengan membuka jendela kekeluargaan, persahabatan dan perpaduan serta ikatan silaturrahim 1Malaysia seluas-luasnya.

41. Semarakkan budaya kunjung mengunjung. Kepada yang tua, kita hormati dan raikan, kepada yang muda pula, kita sayangi serta ceriakan.

42. Bagi mereka yang pulang ke kampung masing-masing, memandulah dengan berhemah dan berhati-hatilah di jalanraya. Kata orang, biar cermat, agar selamat sampai ke destinasi yang dituju, untuk bertemu teman-teman, keluarga tersayang serta sanak saudara yang jauh di mata, juga di halaman rindu.

43. Akhir kalam, saya, bagi pihak diri ini, isteri, dan seisi keluarga, dengan nawaitu murni lagi penuh tawadhuk di hati, menyusun rapi sepuluh jari, memohon ampun serta kemaafan, atas sebarang kesalahan dan kekhilafan, zahir mahupun batin.

Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillah hil Hamd.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.