27 Oktober, 2016

Perutusan YAB Perdana Menteri Deepavali 2016


Bersempena sambutan perayaan Deepavali tahun ini, marilah kita eratkan lagi hubungan baik dan persefahaman yang telah terjalin antara kita. Saya masih ingat sambutan Deepavali semasa saya kecil lagi di mana bersama-sama ibu dan ayah, kami membuat kunjungan ke rumah sahabat yang beragama Hindu dan menikmati hidangan yang cukup lazat seperti thosai, chapati, murukku dan lain-lain lagi.

Semangat Deepavali sesungguhnya berasaskan kepada kejayaan cahaya mengatasi kegelapan. Semangat ini sesungguhnya mencerminkan perjalanan Malaysia sebagai negara berbilang kaum dalam mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan supaya rakyat Malaysia dapat menikmati kehidupan yang aman dan sejahtera.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengulangi komitmen Kerajaan untuk mengarus perdanakan masyarakat India dan memperkasakan program-program pembelaan dalam agenda pembangunan negara melalui Pelan Tindakan (Blueprint) Sosioekonomi Masyarakat India yang akan kita lancarkan pada tahun hadapan. Semoga perayaan pesta cahaya ini akan membawa cahaya kebahagiaan dan keharmonian kepada semua rakyat Malaysia.

Pada masa yang sama, marilah kita bersama-sama berdoa agar keluarga mangsa-mangsa tragedi kebakaran Hospital Sultanah Aminah tabah menempuhi dugaan yang menimpa kehidupan mereka.

Selamat menyambut Hari Deepavali, “Deepavali Vaalthukkal”.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles