PERUTUSAN YAB PERDANA MENTERI SEMPENA MAULIDUL RASUL 1438H/2016

Bismilahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera & Salam 1 Malaysia.

1. Syukur Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, sahabat dan pengikut baginda, kerana dengan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama-sama menyambut dan merayakan hari yang penuh bersejarah dan mulia ini, iaitu hari ulang tahun kelahiran Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW.

2. Sesungguhnya, dengan terpilih menjadi umat Nabi Muhammad SAW, bererti kita berpeluang mendapat pelbagai kelebihan duniawi dan ukhrawi sebagaimana yang disebut dalam pelbagai nas al-Quran dan Hadis. Kita juga telah dijanjikan dengan pelbagai kelebihan seperti penghormatan, gandaan pahala dan ganjaran, syafaat serta pengampunan.

3. Sememangnya, kecintaan kepada Rasulullah SAW sangat penting kerana kita mampu untuk meraih kecintaan daripada Allah sepertimana yang termaktub di dalam Al-Quran. Bahkan, mencintai Rasulullah merupakan pelengkap kepada keimanan seorang mukmin sejati, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari yang bermaksud :

“Tidak (sempurna) iman seseorang sehinggalah aku (Muhammad) dicintai melebihi kedua orang tuanya, anak-anaknya dan semua manusia lain”

4. Sebagaimana yang diketahui, Nabi Muhammad SAW memiliki akhlak dan sifat-sifat yang mulia dan terpuji yang boleh dicontohi khususnya seperti siddiq (benar), amanah (boleh dipercayai), tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana). Sebagai pemimpin, baginda sangat menekankan aspek integriti seperti bertanggungjawab, telus dan jujur. Hakikatnya, baginda memiliki akhlak yang sangat mulia terhadap semua manusia tanpa mengira status sosial, warna kulit dan bangsa.

5. Ciri lain yang juga perlu ada pada umat Muhammad SAW ialah mempunyai rasa prihatin dan mengambil berat terhadap nasib yang menimpa umat Islam yang lain. Sabda Rasulullah SAW yang telah diriwayatkan dalam riwayat At-Tabrani dan Al-Hakim yang bermaksud :

“Siapa yang tidak mengambil berat tentang hal ehwal umat Islam maka bukanlah dia dari kalangan mereka”

6. Maka, menyahut seruan inilah kita bangkit menyuarakan solidariti dan keprihatinan kita dengan nasib umat Islam yang ditindas seperti di Palestin, Kashmir dan etnik Muslim Rohingya di Myanmar. Kita terpanggil untuk membuat teguran dan tekanan kepada mereka yang bertanggungjawab dengan pelbagai pendekatan agar penindasan ini dapat dibendung. Kita juga berusaha mencari jalan terbaik untuk menyalurkan bentuk-bentuk bantuan yang diperlukan kepada mangsa kekejaman ini.

7. Marilah kita terus bermunajat semoga Allah SWT akan membuka pintu-pintu penyelesaian kepada penderitaan umat Islam Rohingya yang berpanjangan ini. Semoga Allah SWT mengurniakan ketabahan dan keteguhan iman bagi saudara-saudara kita yang diuji dengan keperitan di Rohingya dan di mana sahaja mereka berada.

8. Akhir kalam, saya mengucapkan Salam Maulidur Rasul kepada semua umat Islam di negara ini. Semoga sambutan pada tahun ini menambahkan lagi keupayaan dan keperihatinan kita terhadap perjuangan Nabi Muhammad SAW.

Sekian.

Wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.