13 April, 2018

Perutusan YAB Perdana Menteri Sempena Sambutan Israk dan Mikraj 1439 Hijrah


PERUTUSAN YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA SAMBUTAN PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ 1439 HIJRAH
PADA 27 REJAB 1439 H BERSAMAAN 14 APRIL 2018

Assalamualaikum Warahmatullahi wa Barakatuh
Salam Sejahtera dan Salam Negaraku 1 Malaysia
Bismillahirrahmanirrahim

1. Syukur Alhamdulillah, selawat dan salam kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW. Berbekalkan semangat roh perjuangan Rasulullah SAW, kita masih diberi kesempatan untuk sama-sama menghayati peristiwa agung dalam pengabdian kita sebagai hamba Allah iaitu Israk dan Mikraj. Peristiwa bersejarah yang berlaku pada 27 Rejab pada tahun ke- 11 selepas kenabian Rasulullah SAW ini, merupakan dua misi perjalanan hebat yang memperlihatkan kemuliaan dan mukjizat Rasulullah SAW serta membuktikan kekuasaan Allah SWT. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Israa’ ayat 1 yang bermaksud : “Maha Suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Masjidil Al-Haram (Makkah) ke Masjidil Al-Aqsa (Palestin) yang Kami berkati sekelilingnya sebagai tanda kekuasaan Kami.”

2. Peristiwa Israk dan Mikraj yang kita sambut setiap tahun sememangnya dinantikan oleh seluruh umat Islam kerana manfaatnya dalam mentarbiyah jiwa manusia ke arah kesempurnaan Iman terhadap kekuasaan Allah dan kebenaran perutusan Nabi Muhammad SAW. Peristiwa ini mengingatkan kita dengan idealisme dan perjuangan Rasulullah SAW yang wajar kita tekuni ibrahnya. Pelbagai pengajaran dan pedoman boleh diteladani melalui peristiwa tersebut terutamanya dalam melaksanakan tadbir urus negara.

3. Dalam menyingkap hikmah Israk dan Mikraj, maka kita juga sedang meniti satu perjalanan yang hebat bersama-sama rakyat menerusi Transformasi Nasional 2050 sekaligus mengekalkan keutuhan jambatan perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat. Pelaksanaan TN50 ini dapat dilihat bukan lagi terikat dengan indeks kemajuan material semata-mata, bahkan turut berkisar tentang pembinaan sebuah ketamadunan.

4. Komitmen Malaysia dalam mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan dapat dilihat apabila kerajaan secara serius dan bersistematik melaksanakan pentadbiran negara melalui kerangka Maqasid Syariah dan pendekatan Wasatiyah. Sesungguhnya, kerajaan sentiasa memperkasa agenda Islam dalam pembangunan negara, dan antaranya ialah Aku Janji terbaharu kerajaan untuk melahirkan seramai 125,000 huffaz professional dalam tempoh lima tahun serta menaiktaraf Darul Al-Quran di Kuala Kubu Bharu menjadi Universiti Al Quran.

5. Aku Janji ini merupakan satu komitmen yang tinggi antara peranan ulama dan umara dalam mentadbir dan memakmurkan negara selari dengan tuntutan al-Quran iaitu baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur (negeri yang baik dan Tuhan yang Maha Pengampun). Bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Nu’aim yang bermaksud “Dua golongan manusia yang jika elok keduanya, maka eloklah orang ramai, dan jika rosak keduanya maka rosaklah manusia, mereka itu ialah ulama dan umara”.

6. Berdasarkan hadis tersebut, betapa pentingnya ulama dan umara saling berperanan dalam melaksanakan amanah yang diberikan oleh Allah SWT dalam menguruskan sesebuah negara. Justeru, kita mestilah memilih pemimpin dan kerajaan yang sentiasa menjaga agama, memelihara kesejahteraan dan kebajikan rakyat agar keamanan dan kemakmuran sekarang dapat dikekalkan.

7. Mengakhiri perutusan ini,marilah kita hebatkan negaraku bersama-sama dan berusaha melazimi amalan yang baik dalam kehidupan seharian. Semoga seluruh umat Islam meghayati peristiwa agung ini supaya menjadikan kita sebagai khaira’ ummah.

Selamat menyambut Israk dan Mikraj tahun 1439H.
Sekian, Wassalam.

Shares Share Kategori : Blog, Official Addresses