2 Mei, 2018

Pesanan Buat Calon Barisan Nasional


Jika dilihat senarai calon Barisan Nasional kali ini, terdapat 327 calon baharu yang diperkenalkan melibatkan 250 calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 77 calon di Parlimen. Saudara-saudari boleh melihat senarai calon-calon BN di kawasan Parlimen atau DUN di laman web saya.

Angka tersebut merupakan bukti bahawa Barisan Nasional sentiasa membuka peluang kepada muka-muka baharu yang diyakini layak untuk menggalas amanah serta mampu membawa kemenangan untuk Barisan Nasional.

Pada masa sama, saya menghargai calon-calon lama yang menerima keputusan parti dengan hati yang terbuka serta memberi peluang dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon baru. Inilah semangat Barisan Nasional, dan pengorbanan ini Insya-Allah akan membawa kejayaan kepada kita pada Pilihan Raya Umum kali ini!

Selain nama baharu, calon yang dinamakan Barisan Nasional juga ramai dalam kalangan anak muda di bawah umur 35 tahun. Antaranya Shahril Hamdan, Chan Quin Er, Fikhran Hamsh, Eric Choo dan Caesar Mandela Malakun. Langkah ini selari dengan hasrat untuk meremajakan semula parti selain memupuk kepimpinan masa hadapan negara.

Barisan Nasional juga terus memberi pengiktirafan kepada calon wanita. Kali ini 85 calon wanita dipilih untuk bertanding di 26 kerusi Parlimen dan 59 kerusi DUN. Peranan dan sumbangan wanita dalam perjuangan parti amat besar dan mereka adalah tulang belakang kepada Barisan Nasional. Sebab itu kita menghargai wanita sebagai #RatuHatiNegaraku.

Meskipun ramai muka baru yang dipertandingkan kali ini, saya bersyukur proses penamaan calon Barisan Nasional berjalan dengan lancar. Tiada calon yang digugurkan dan semuanya berjaya memenuhi kehendak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia. Ini adalah kerana kita melakukan persediaan amat rapi dan tidak memandang remeh hal-hal berkaitan Pilihan Raya.

Dari situ kita dapat lihat bukan sahaja tahap persediaan tetapi juga kesungguhan untuk memimpin negara oleh Barisan Nasional, berbanding pembangkang yang perkara asas pun belum mampu dilengkapkan. Bukan setakat tidak mampu melengkapkan perkara asas, mereka menyalahkan BN, Suruhanjaya Pilhan Raya dan PDRM pula. Sikap ‘playing victim’ ini bukanlah sesuatu yang baru bagi mereka. Bagaimana hendak mentadbir negara?

Berbalik kepada pencalonan, suka saya berkongsi harapan dan pesanan saya kepada calon yang akan bertanding. Perkara paling utama dalam kita mendepani musim berkempen ini ialah sentiasa Dahulukan Rakyat. Ingatlah bahawa segala apa yang kita lakukan adalah untuk rakyat semata-mata, dan matlamat itu harus didokong, bukan kepentingan peribadi seperti jawatan atau habuan.

Selain itu, calon juga harus berpegang kepada agenda utama kempen Barisan Nasional kali ini iaitu memberi fokus kepada pembangunan dan ekonomi. Dekatilah para pengundi dan berkongsi dengan mereka visi dan misi yang akan diambil Barisan Nasional untuk mensejahterakan mereka dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kita juga tahu bagaimana besarnya impak media sosial pada pilihan raya kali ini. Platform itu saya harap akan turut digunakan calon untuk menarik sokongan para pengundi. Namun, gunakan media sosial anda dengan bijak, dan jangan jadi seperti pembangkang yang sering menyebarkan berita tidak benar dengan #TsunamiPHitnah yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

Kita bukan menabur janji manis bermadu seperti pembangkang, sebaliknya kita mampu melaksanakan apa yang dijanjikan. Setiap calon, termasuklah diri saya sendiri, harus bekerja keras untuk menjemput rakyat jelata bersama Barisan Nasional dalam agenda memperhebatkan Malaysia.

Bersama BN, Hebatkan Negaraku!