4 Mei, 2018

Pesanan Buat Pengundi-Pengundi Awal


Pada Sabtu 5 Mei 2018, proses pengundian awal akan dilaksanakan untuk Pilihan Raya Umum ke-14. Pengundian awal melibatkan anggota polis dan pasukan gerak am serta anggota tentera bersama isteri atau suami masing-masing.

Kerajaan sentiasa mengenang dan menghargai sumbangan dan jasa anggota pasukan keselamatan. Mereka adalah wira dan wirawati yang menjadi benteng menjaga keamanan dan keselamatan negara.

Saya masih ingat lagi semasa kejadian di Lahad Datu, di mana ada anggota keselamatan kita yang terkorban demi mempertahankan negara. Saya masih ingat lagi tangisan ahli keluarga perajurit negara yang gugur mempertahankan kedaulatan negara, tetapi pembangkang memperlekehkan, malah ada yang tergamak menyatakan ia hanya sandiwara semata-mata.

Saya masih ingat dengan jelas kerana saya sendiri turun bertemu saudara-saudari, dan saban tahun saya memikirkan bagaimana untuk terus menghargai dan meningkatkan lagi kualiti hidup saudara-saudari semua.

Setiap tahun, pasti ada pengumuman khas yang melibatkan kebajikan serta kesejahteraan kehidupan anggota-anggota keselamatan negara, termasuklah yang telah bersara.

Malahan, pengumuman Manifesto Barisan Nasional baru-baru ini jelas memperlihatkan bagaimana kita sentiasa memikirkan kebajikan serta kesejahteraan saudara-saudari anggota keselamatan negara. Antaranya termasuklah penyediaan 45,000 unit rumah keluarga Angkatan Tentera menjelang 2030, 10,000 unit rumah SASaR, 10,000 unit rumah PPA1M untuk Polis DiRaja Malaysia dan peningkatan kuota haji khas untuk pesara ATM dan PDRM.

Pihak pembangkang pula, selain memperlekehkan fungsi serta tanggungjawab penjawat awam yang termasuk anggota-anggota keselamatan negara seperti saudara-saudari, mereka berniat untuk mengurangkan jumlah penjawat awam pula. Penang Institute misalnya, pernah berkata bahawa sebenarnya Malaysia perlu 430,000 orang penjawat awam sahaja. Ini bermakna, daripada 1.6 juta penjawat awam hari ini, ada kemungkinan besar 1.2 juta akan kehilangan hidup dan mata pencarian. Parti dan wakil rakyat ini hendaklah ditolak.

Hakikatnya, “Harapan” sebenar ada pada Barisan Nasional.

Saya menyeru agar pengundi-pengundi awal membuat undi berdasarkan fakta, berdasarkan pencapaian, dan berdasarkan segala sumbangan Kerajaan kepada negara dan juga kepada anggota-anggota keselamatan seperti saudara-saudari yang selama ini tidak pernah dipinggirkan.

Janganlah mengundi berdasarkan hasutan. Pihak pembangkang tidak menghargai jasa dan pengorbanan saudara-saudari kepada negara, malah ada juga yang memperlekehkan pengorbanan saudara-saudari semua.

Kerajaan juga tidak pernah menghalang, mengekang atau mengarahkan bagaimana saudara-saudari melaksanakan tanggungjawab dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan ini.

Pilihlah kestabilan, pilihlah kemakmuran, pilihlah kejayaan. Pilihlah untuk #HebatkanNegaraku.

Semoga pilihan saudara saudari nanti menentukan masa depan Malaysia yang berjaya dan terus berjaya.