Program Perumahan Rakyat Tehel

By April 22, 2017 Blog, Featured Articles

Sejak mengambil alih teraju pentadbiran Kerajaan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009, Perumahan Mampu Milik telah menjadi antara agenda pembangunan utama Kerajaan Barisan Nasional.

Kerajaan sentiasa mengambil langkah proaktif menggubal dasar dan melaksanakan pelbagai program perumahan yang bersifat pro-rakyat demi memberi peluang kepada setiap rakyat Malaysia untuk memiliki rumah sendiri yang selesa dan berkualiti.

Kita juga memastikan bahawa konsep pembangunan secara inklusif menjadi teras dalam program kita agar tiada yang terpinggir atau ketinggalan, terutama sekali golongan masyarakat yang berpendapatan rendah atau B40.

Banyak projek yang telah kita usahakan dan serahkan kepada penduduk, antaranya baru-baru ini di Residensi Kerinchi, 1Razak Mansion dan sebagainya.

Kesinambungan daripada itu, petang semalam saya ke Melaka pula untuk menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Program Perumahan Rakyat (PPR) Tehel, merealisasikan impian rakyat Melaka untuk memiliki kediaman sendiri.PPR Tehel ini adalah satu projek di mana 500 unit rumah berkeluasan 700 kaki per segi ditawarkan kepada rakyat pada harga RM35,000 seunit, jauh lebih murah daripada kos pembinaan sebenar iaitu RM160,000 seunit, dan nilai rumah-rumah ini dijangka melonjak sehingga mencecah RM400,000 seunit dalam masa beberapa tahun sahaja, Insya-Allah.

Unit-unit rumah PPR Tehel ini bukan sahaja mampu milik, malah ia juga dilengkapi dengan sistem teknologi hijau iCycle dan perangkap nyamuk solar. Negeri Melaka mungkin terkenal sebagai bandaraya bersejarah tetapi ternyata ia juga adalah negeri yang maju dan berwawasan.Antara penerima kunci rumah PPR Tehel ini ialah Puan Norhamimah Rahim, insan kelainan upaya dan ibu kepada tiga anak dan Encik M. Dave a/l Marimuthu yang mencari nafkah sebagai tukang kebun untuk keluarganya dan membesarkan empat orang anak. Seorang lagi penghuni baru PPR Tehel pula, Puan Tai Lee Hwa bekerja di sebuah kedai dobi untuk menanggung kehidupan beliau bersama tiga orang anak.

Ketiga-tiga mereka adalah antara 300,000 ribu rakyat yang mendapat manfaat daripada Program Perumahan Rakyat sejak ia dimulakan pada tahun 2001 di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8).Di Melaka sahaja, lebih 1,400 unit rumah PPR telah siap dibina dan diserahkan kepada penduduk dan sukacita saya maklumkan juga bahawa usaha kita di Melaka tidak terhenti di sini, malah kita ada projek PPR baru di mana 160 unit lagi akan dibina di Tangga Batu.

Ini jelas mencerminkan keprihatinan dan komitmen Kerajaan untuk membantu golongan B40 menaikkan taraf hidup mereka.

Semua ini juga adalah satu manifestasi negara cemerlang yang sentiasa mendahulukan rakyat, keupayaan dan kemampuan tinggi kita untuk membantu semua rakyat yang memerlukan, dan sudah tentu inilah indikator yang jelas bahawa kita bukannya sebuah ‘failed state’ seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang.

Insya-Allah, Kerajaan Barisan Nasional akan terus berkhidmat untuk rakyat!