4 September, 2016

Projek Taman Tugu


Alhamdulillah saya berpeluang untuk menyaksikan satu lagi detik bermakna apabila merasmikan Projek Taman Tugu, di Tugu Negara pada petang tadi. Projek ini akan memberi fokus kepada pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah warisan alam.

WhatsApp Image 2016-09-04 at 10.26.30 PM

Melalui inisiatif Projek Taman Tugu, sebuah hutan hujan di tengah Bandar Raya Kuala Lumpur akan dipulihara dan diaktifkan. Kawasan di sekitar Tugu Negara seperti Taman Botani Perdana, sehingga ke KL Sentral akan dihubungkan dengan laluan pejalan kaki yang dibarisi dengan kehijauan flora dan fauna.

Dengan menggunakan strategi penanaman semula, saya difahamkan kira-kira 5,000 spesis pokok hutan hujan tropika akan dipindahkan dan ditanam di tapak ini. Apabila siap kelak, penduduk akan boleh merasai pengalaman berjalan kaki dari KL Sentral ke Taman Botani Perdana dan Tugu Negara melalui Muzium Negara dan kemudiannya akses terus ke stesen KTM Bank Negara, dengan selesa dalam persekitaran yang teduh dan nyaman.

WhatsApp Image 2016-09-04 at 10.26.44 PM

Selain itu, projek Projek Taman Tugu ini merupakan sebahagian daripada agenda di bawah Program Transformasi Ekonomi – Greater KL, di mana Kerajaan beraspirasi untuk menjadikan Kuala Lumpur dan Lembah Klang, sebagai salah satu bandar terbaik dunia dari sudut pertumbuhan ekonomi dan berdaya huni menjelang 2020. Projek yang dijangka siap secara berperingkat pada tahun 2018 akan menyediakan zon aktiviti dan rekreasi, zon keluarga dan komuniti serta zon pendidikan.

Insya-Allah, Projek Taman Tugu ini akan dapat dinikmati oleh setiap penduduk dan pengunjung ke Bandar Raya Kuala Lumpur. Jika London mempunyai Hyde Park, dan New York ada Central Park, tidak lama lagi, Kuala Lumpur juga akan mempunyai sebuah taman yang bertaraf antarabangsa.

Saya mengucapkan syabas kepada Khazanah Nasional, Kementerian Wilayah, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Pelancongan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang disokong oleh Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Unit Kerjasama Awam-Swasta, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia atas usaha kolektif untuk menerajui projek ini bersama.

WhatsApp Image 2016-09-04 at 10.26.29 PM

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles