Pulau Tuba Tidak Akan Ketinggalan

By March 20, 2017 Blog, Featured Articles

Tengah hari ini saya di Pulau Tuba, Langkawi, merasmikan projek yang amat dekat di hati saya. Tahun 2012 dahulu, saya meluluskan peruntukan sebanyak RM45 juta untuk projek bekalan elektrik luar bandar 24 jam di Pulau Tuba ini menerusi kabel dasar laut dari Kuala Perlis.

Meskipun pada asalnya projek ini tidak tersenarai di dalam bajet tahunan, namun saya sedar kesulitan yang dihadapi penduduk di Pulau Tuba ini, yang rata-ratanya terdiri daripada nelayan dan petani, yang bergantung kepada bekalan elektrik jana kuasa yang tidak stabil.

Alhamdulillah, hari ini saya berasa amat gembira kerana janji saya kepada penduduk Pulau Tuba telah ditepati, bekalan elektrik 24 jam yang akan memanfaatkan 5,000 penduduk di sini.

Selain itu, saya juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM 700 ribu melalui Tenaga Nasional Berhad untuk membina jeti penumpang, membaiki pendawaian 32 rumah rakyat miskin serta membina 38 lampu jalan di sini. Tambahan kepada itu, RM800 ribu juga telah diluluskan untuk membaiki rumah rakyat miskin.

Ini adalah bantuan ikhlas kerajaan untuk membela nasib masyarakat di pedalaman, bukanlah dedak mahupun rasuah seperti yang diperkatakan oleh segelintir pihak pembangkang.

Ini adalah dasar yang adil, dasar yang akan terus kita amalkan, pembangunan inklusif buat semua, supaya rakyat Malaysia tidak mengira golongan akan sama-sama menikmati hasil pembangunan negara.