24 Mac, 2016

Pusat Jagaan Al-Fikrah


Saya berkesempatan untuk singgah sebentar menziarahi 70 penghuni di Pusat Jagaan Al-Fikrah, Kajang. Pusat yang ditubuhkan sejak Julai 2012 adalah rumah perlindungan kepada warga emas dan remaja kurang upaya yang telah hilang tempat berteduh.

IMG-20160323-WA0033

Pusat ini mampu beroperasi secara proaktif dengan memiliki sebuah kawasan kebun untuk bercucuk tanam. Saya juga sempat melawat kebun diuruskan oleh para penghuni yang mampu menampung sebanyak 30% daripada keperluan harian penghuni.

Saya tidak dapat menahan rasa sebak apabila berbual dengan penghuni yang rata-rata telah berusia lebih 70 tahun. Kebanyakan mereka berkongsi kepada saya kisah diabaikan anak-anak serta tiada penjaga.

Sesungguhnya tiada sebarang kelengkapan mahupun kemewahan di dunia dapat menggantikan kasih sayang seorang anak. Menjaga ibu bapa adalah tanggungjawab kita sebagai anak seperti firman Allah SWT di dalam Surah Al-Israa’, ayat 23;

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

IMG-20160323-WA0031

Saya telah meminta sukarelawan 1M4U untuk membantu mereka menjalankan sesi fisioterapi dan penjagaan kesihatan di bawah program 1Care for 1Malaysia untuk memastikan mereka menerima rawatan kesihatan yang berkualiti.

Untuk jangka masa panjang pula, mereka memerlukan sebuah tapak lebih luas yang perlu diberi kelulusan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Insya-Allah proses kelulusan tapak ini akan dipermudahkan oleh pihak berkuasa di peringkat Persekutuan dan Negeri.

Kita akan berusaha untuk membina sebuah pusat penjagaan dua tingkat yang lebih moden dan sempurna bagi menampung lebih ramai penghuni pada masa-masa akan datang.

Kemudahan dan peralatan yang sempurna penting untuk keselesaan agar mereka dapat menjalani kehidupan usia senja mereka dalam keadaan tenang dan teratur supaya memberi lebih makna kepada kehidupan mereka.

IMG-20160323-WA0032 (1)

Saya berterima kasih kepada penjaga, Tuan Haji Azmi Mohd Zain dan sukarelawan yang berkorban masa dan tenaga untuk menjaga penghuni di pusat ini.

Insan-insan ini tidak seharusnya dilupakan dan mereka memerlukan sokongan masyarakat. Saya akan membantu dan menyokong agar usaha sukarelawan ini dapat diteruskan.