28 April, 2018

Saya Setia Bersama Pekan


Alhamdulillah hari ini selesai proses penamaan calon, dan seperti tahun-tahun sebelumnya, saya kekal bertanding di P.085 Pekan, kawasan di mana bermulanya kerjaya politik saya lebih 40 tahun lalu.

Saya masih ingat lagi, ketika itu saya baru berusia 23 tahun, takdir menentukan saya melangkah masuk ke kancah politik, dipilih oleh Barisan Nasional untuk menggantikan tempat Allahyarham Ayahanda Tun Abdul Razak yang pulang ke rahmatullah.

Meskipun bersulam perasaan duka kehilangan Ayahanda tercinta, saya bersyukur dapat menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Kecil Pekan yang diadakan pada tahun 1976.

Saya juga berasa terharu kerana bukan sahaja saya mendapat sokongan penuh rakyat, tetapi saya juga diberi peluang menyambung legasi, tanggungjawab dan amanah yang Allahyarham Ayahanda tinggalkan sebagai Ahli Parlimen Pekan, dan seterusnya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Sebagai Ahli Parlimen Pekan, saya menyimpan harapan cukup besar untuk memastikan kebajikan setiap penduduk Pekan terjaga dan untuk Pekan terus membangun maju dan berjaya. Hari ini impian dan harapan tersebut telah dapat dicapai, Pekan cukup pesat membangun dalam pelbagai bidang, dari pendidikan sehinggalah ke pekerjaan.

Siapa sangka kawasan kecil seperti Pekan hari ini terletaknya Institut Pengajian Tinggi seperti Kampus Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Automotif DRB-Hicom. Pekan juga menjadi pilihan kilang-kilang syarikat terkemuka dunia beroperasi seperti Mercedes-Benz, Volkswagen, Isuzu dan Suzuki yang menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Malah saya cukup berbangga Kilang Mercedes-Benz di Pekan ini adalah kilang pertama di luar negara Jerman yang diberi kepercayaan untuk memasang model paling mewah Mercedes-Benz iaitu S-Class!

Pembangunan di Pekan ini adalah satu contoh pentingnya kestabilan serta kesinambungan politik yang memastikan setiap perancangan dilakukan untuk kawasan dapat dilaksanakan.

Selain itu, pembangunan dapat direalisasikan di Pekan dan juga di semua kawasan pimpinan Barisan Nasional adalah kerana wakil rakyat BN sentiasa berkhidmat untuk rakyat dan memikirkan kepentingan mereka.

Inilah pegangan Barisan Nasional, kita inginkan supaya calon yang dipilih mampu terus membawa suara dan kepentingan rakyat, dan untuk mereka diadili oleh para pengundi atas khidmat jasa mereka sepanjang menjadi wakil rakyat.

Ini jauh berbeza dengan parti pembangkang yang memilih calon mereka bukan berdasarkan kepada keinginan mereka untuk berkhidmat kepada kawasan dan rakyat setempat. Sebab itulah banyak calon mereka berpindah randah daripada satu kawasan kepada satu kawasan yang lain selepas satu penggal sahaja.

Pembangkang ini licik, mereka melarikan diri ke kawasan yang difikirkan ‘selamat’ di pandangan mereka, dan merampas hak rakyat untuk menilai prestasi pada penggal terdahulu. Mungkin ada yang gusar sebab sepanjang perkhidmatan asyik mengabaikan penduduk kawasan, atau mungkin juga ada yang dahulu menang pun sebab memfitnah, kali ini angkat kaki risau rakyat di kawasan itu akan mengadili setelah mereka ketahui kebenaran.

Barisan Nasional tidak akan sesekali jadi seperti pembangkang. Saya tahu penduduk dan pengundi di Pekan cukup bijak dalam membuat pilihan. Rekod dalam PRU ke-13 membuktikan betapa orang Pekan begitu selesa bersama saya dan Barisan Nasional apabila kita berjaya mengekalkan kerusi Parlimen dengan majoriti undi cukup besar iaitu 35,163 undi.

Namun begitu saya tidak pernah ambil mudah kawasan dan penduduk Pekan, sebaliknya akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif dan bekerja kuat supaya para pengundi dapat melihat sendiri apa yang diusahakan dan dicapai lantas membuat keputusan di peti undi berdasarkan pencapaian tersebut.

Saya yakin Insya-Allah, sekiranya masyarakat di Pekan secara khususnya dan Malaysia secara amnya memilih dan mengundi pada 9 Mei nanti berdasarkan kepada fakta yang terbentang dan track record BN yang tersedia, bukannya sentimen dan berita-berita hasutan palsu dibawa pembangkang, Barisan Nasional mampu menang dengan majoriti yang lebih besar, bukan sahaja untuk kerusi Parlimen Pekan tetapi juga untuk lain-lain kerusi di seluruh negara!

Sesungguhnya hanya Bersama BN, kita mampu Hebatkan Negaraku!