15 , 2018

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2018


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Rakyat Malaysia yang dikasihi

Semasa kita sedang meraikan lebaran Aidilfitri ini dengan kemeriahan, Ramadan bulan ujian baru sahaja meninggalkan kita. Ramadan kali ini tentu sekali berbeza dengan Ramadan terdahulu bagi saya memandangkan saya dan rakan-rakan seperjuangan tidak lagi berkhidmat dalam kerajaan.

Ramadan ini, segala ujian yang dilalui saya sekeluarga, dijadikan teladan untuk kami amati kerana hikmah dari ujian-ujian ini telah memberi ruang untuk saya lebih banyak beribadat dan bermuhasabah diri di kesempatan bulan penuh keberkatan ini.

Pada penghujung Ramadan tahun lepas, saya ada menulis tentang bagaimana umat Islam sejagat harus menjaga hubungan sesama umat dan hanya mereka yang berjiwa besar sahaja yang akan menyeru ke arah persefahaman.

Meskipun saya kini bukan lagi Perdana Menteri Malaysia, saya tetap mahukan rakyat Malaysia hidup dalam keadaan aman dan sejahtera tanpa perlu kita sentiasa bersangka buruk sesama sendiri hanya kerana perselisihan politik antara kita pada pilihan raya umum yang lepas.

Memang kita tahu pada masa itu tentunya terdapat perselisihan antara keluarga, rakan dan taulan sehingga ada yang terguris hati.

Syawal ini marilah kita bermaaf-maafan dan buka lembaran baru. Lupakan kisah lampau.

Peralihan kuasa yang berlaku sebelum Ramadan lepas berjalan dengan aman dan kita sekarang dipimpin kerajaan yang baru.

Kita berharap agar persaingan politik dalaman biar di pihak pembangkang mahupun di dalam kerajaan yang sedang berlaku ketika ini kekal terkawal dan berlangsung secara sihat.

Saat kita bertemu rakan dan taulan nanti, anjurkanlah persefahaman kerana hakikatnya seluruh rakyat Malaysia menaruh harapan yang tinggi kepada kerajaan hari ini untuk kekal stabil bagi melaksanakan mandat yang diberi.

Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir dan batin.

Sekian sahaja dari saya

Wassalamuaikum warahmatullahi wabarakatuh.