1 November, 2017

Sembang #Bajet2018 bersama para Pesawah Padi, Pekebun Kecil dan Nelayan


Pagi ini saya berpeluang sarapan bersama rakan-rakan pesawah padi, pekebun kecil dan nelayan di Warung Pak Long dekat Jeti Pasar Nelayan Kuala Kedah, sembang santai tentang #Bajet2018 yang dibentangkan baru-baru ini.

Saya nyatakan kepada semua yang hadir bahawa tak pernah sekali pun kelompok pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak, dan penoreh getah dianaktirikan Kerajaan.Sebaliknya, Kerajaan faham pengorbanan dan jerih payah mereka dalam mencari rezeki, misalnya para nelayan yang perlu bangun seawal 3 pagi untuk ke laut, atau para pesawah padi yang berjemur panas di bawah mentari terik untuk hasilkan sebutir nasi.

Oleh sebab itulah dalam #Bajet2018, saya umumkan peruntukan terbesar untuk golongan ini iaitu sebanyak RM6.5 bilion.

Ini juga tanda penghargaan kepada golongan penting ini yang telah membanting tulang mencurahkan keringat demi memastikan pengeluaran makanan asas negara serta keperluan rakyat terjamin.

Selain itu, Kerajaan juga mengumumkan bantuan-bantuan lain seperti meneruskan elaun nelayan, insentif penanaman semula getah, infrastruktur tingkatkan pengeluaran latex dan juga satu inisiatif baru bantuan RM200 sebulan selama 3 bulan untuk pesawah padi sementara menunggu hasil tuaian.Saya harap semua gembira dengan bantuan dan pengumuman yang dibuat oleh kerajaan,  bukan saja para pesawah padi, pekebun kecil getah dan nelayan secara khususnya, tetapi untuk Negeri Kedah seperti naik taraf hospital, bantuan jalan kampung dan banyak lagi.

Cakap pasal Kedah, sempat saya tanya mengenai final Piala Malaysia Sabtu ini, apa ramalan mereka sama ada Kedah boleh pulun atau tidak. Semua bersemangat mahu Kedah menang, saya kata saya harap pasukan terbaik akan menang.

Secara keseluruhannya, saya gembira dapat meluangkan masa bersama orang ramai pagi ini, bersembang santai mengenai #Bajet2018, terutamanya perkara yang membawa manfaat secara langsung kepada mereka.Bukan seperti pembangkang yang tak pernah sepakat sesama mereka, kerap buat u-turn,  yang paling konsisten tentang mereka ialah sikap mereka yang tak pernah konsisten.

Pembangkang hanya pandai menabur fitnah dan burukkan negara, segala apa yang dilakukan oleh Kerajaan buruk kata mereka, tetapi mereka tidak nampak dan tidak merasa denyut nadi rakyat seperti mana Barisan Nasional faham dan prihatin mengenainya.

Janji saya dan Kerajaan Barisan Nasional, ialah kami akan terus memperjuangkan nasib rakyat, terus istiqamah dan ikhlas memastikan semua golongan dapat manfaat dan bantuan yang diperlukan.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles