Sembang #Bajet2018 bersama urang-urang Sabah

By November 18, 2017 Blog, Featured Articles

Sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur, saya berpeluang untuk bersembang santai bersama urang-urang Sabah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang di Restoran Kampung Nelayan, berbincang mengenai pengumuman #Bajet2018 untuk negeri Sabah. Antara mereka yang hadir adalah cikgu, pensyarah, usahawan, peguam dan juga jurutera.

Saya telah menerima maklum balas yang baik berkenaan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang bakal membuka ekonomi Sabah dan memberi kesalinghubungan yang lebih baik buat penduduk Sabah.

Mereka juga gembira dengan peruntukan besar untuk pembangunan luar bandar yang tentunya akan memberi manfaat buat penduduk Sabah secara keseluruhannya. Ada juga yang mencadangkan agar lebih banyak Urban Transformation Centre dan Rural Transformation Centre diwujudkan di sekitar Sabah.

Puan Liana Hasim yang merupakan seorang ibu juga sangat mengalu-alukan pengumuman kerajaan untuk tempoh cuti bersalin selama 3 bulan untuk sektor swasta. Menurut beliau, langkah ini menggalakkan work life balance sekali gus mengukuhkan institusi keluarga.

Selain itu, Dr Rosalam daripada Universiti Malaysia Sabah telah mencadangkan agar Sabah memberi tumpuan kepada sektor makanan sihat dan merancakkan lagi sektor pertanian dan keusahawanan. Insya-Allah ini akan dipertimbangkan.

Saya juga menggalakkan mereka untuk mengambil peluang untuk turut serta dalam ekonomi digital, dan menjadi sebahagian daripada rangkaian bekalan global. Saya turut kongsikan kisah kejayaan usahawan durian yang telah membuat keuntungan berlipat ganda daripada RM3 juta kepada RM30 juta melalui kegiatan eksport ke negara luar terutamanya ke China.

Saya juga setuju dengan pendapat En Saiful Imran yang menyatakan bahawa masyarakat kita perlu mengubah cara pemikiran dan harus bersikap lebih terbuka dalam menghadapi perubahan masa. Untuk itu, saya telah memberi jaminan bahawa kerajaan melalui MDEC banyak melaksanakan inisiatif dan latihan untuk membantu menyediakan masyarakat kita menghadapi Revolusi Industri 4.0.

Kami juga berbincang akan peranan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan Sabah maju standing dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Misalnya dalam Bajet 2018, pelbagai inisiatif telah diumumkan antaranya peruntukan RM1 bilion untuk naik taraf sekolah daif di Sabah, RM1 bilion lagi untuk infrastruktur komunikasi di kawasan pedalaman Sabah dan juga Sarawak, hampir RM500 juta untuk projek jalan luar bandar Sabah dan Sarawak, RM620 juta untuk bekalan elektrik dan RM50 juta untuk pemetaan dan pengukuran tanah-tanah adat di Sabah dan Sarawak.

Walaupun perbincangan tadi banyak berkisar berkenaan bajet, kami juga sempat berbual berkenaan perlawanan Manchester United dan Newcastle United serta pendekatan yang saya ambil dalam menangani jadual yang ketat sebagai Perdana Menteri.

Kepada rakan-rakan yang hadir tadi En Saiful Imran, En Farish bin Aziz, Dr Jualang Azlan, Dr Rosalam bin Sarbatly, Puan Liana Hasim, Puan Athirah Sairin, En Welson Gusop, Cik Karmen Luna dan En George Manggong, saya harap kita akan kekal berhubung dan berjumpa lagi di masa hadapan!