Sidang Kemuncak APEC di Vietnam

By November 11, 2017 Blog, Featured Articles

Hari pertama di Sidang Kemuncak APEC (AELM) di Da Nang, Vietnam semalam saya mulakan dengan dialog bersama APEC-US Business Coalition yang terdiri daripada beberapa syarikat besar Amerika Syarikat yang diwakili oleh pengurusan tertinggi mereka. Anda boleh baca mengenainya di sini.

Seterusnya saya bersama rakan sejawat saya dari Papua New Guinea, Peter O’Neill menjadi ahli panel dalam Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC atau APEC CEO Summit, di mana kami membincangkan masa depan, kejayaan serta impak positif daripada APEC.

Antara fokus yang saya tekankan adalah mengenai globalisasi, yang mana kita perlu menerimanya jika tidak ingin ketinggalan, tetapi pada masa sama globalisasi turut mempunyai kesan yang memerlukan campur tangan Kerajaan.

Misalnya kewujudan aplikasi e-hailing seperti Uber dan Grab, dan bagaimana Kerajaan telah mengambil langkah membantu para pemandu teksi dengan menyediakan geran bagi mereka membeli kenderaan baru untuk menjadi pemandu e-hailing.

Ini contoh peralihan daripada ekonomi lama kepada baharu, dan bagi menangani kesan negatif globalisasi ini, kita perlukan program-program di mana pengusaha kecil dan sederhana boleh mengeksport barangan mereka ke pasaran antarabangsa, seperti durian yang dieksport ke pasaran lebih besar seperti China dan cukup laris di sana. Malah saya difahamkan durian di sana jadi rebutan menandingi iPhone X yang baru!

Apa yang penting adalah kita tidak boleh ketinggalan daripada globalisasi, dan saya melihat bahawa berbanding APEC yang lalu, kali ini wujud lebih banyak sentimen anti-globalisasi, polisi inward-looking atau menekankan kepentingan dalaman sesebuah negara, yang ironinya adalah bertentangan dengan falsafah penubuhan APEC itu sendiri.

Kerajaan perlu memainkan peranan menerangkan kesan globalisasi ini kepada rakyat, selain mengambil langkah-langkah positif sama ada menerusi peningkatan peluang perniagaan, atau menyediakan insentif buat mereka berubah daripada ekonomi lama kepada baharu, selain melibatkan lebih ramai dalam ekonomi digital.

Malaysia akan terus berpegang kepada teras dan nilai-nilai asas pembentukan APEC, yakni untuk mewujudkan perdagangan bebas dan integrasi serantau antara negara-negara anggota.

Teras dan nilai-nilai ini telah menyaksikan beberapa kejayaan seperti penurunan tarif, tetapi usaha perlu terus dilakukan bagi mencapai lebih banyak lagi.

Menyentuh mengenai TPP, meskipun belum ada konsensus mengenainya, tetapi adalah tidak tepat untuk kita menyatakan bahawa ia telah terkubur.

Kita memerlukan lebih banyak masa untuk mencapai persetujuan, dan ada 2 aspek yang perlu diberi perhatian iaitu dari sudut substantif dan juga sudut politik.

Ada pihak yang menyatakan bahawa mereka perlu menunggu untuk mempuat keputusan akibat cabaran politik domestik yang perlu ditangani, dan setiap negara ingin menjaga kepentingan masing-masing sebelum bersetuju, oleh itu kita memerlukan lebih banyak masa.

Selain itu, saya juga mengambil peluang semalam untuk mengadakan perbincangan dua hala bersama Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern yang baru dilantik Oktober lalu.

Seorang dari New Zealand, seorang dari Malaysia, tetapi bertemu di Vietnam. Inilah jadual kami, jika ada kesempatan, pemimpin negara akan mengatur pertemuan untuk berbincang mengenai hubungan dua hala negara masing-masing.

Antara yang disentuh kali ini adalah untuk Malaysia dan New Zealand mencari jalan meningkatkan lagi hubungan dua hala, perdagangan dan juga hubungan dari sudut pendidikan. Kita juga akan menyambut 60 tahun hubungan diplomasi antara kedua-dua negara di mana Gabenor Jeneral New Zealand akan melawat Malaysia pada Disember ini.

Secara keseluruhannya, hari yang sibuk tetapi produktif, banyak yang telah berjaya kita capai untuk Malaysia.