Tahniah dan Terima Kasih Para Atlet Luar Biasa!

By September 19, 2016 Blog, Featured Articles

Selesai pagi Isnin, edisi ke-15 Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro secara rasminya menutup tirai. Saya percaya temasya kali ini adalah temasya Sukan Paralimpik yang paling diikuti dan akan dikenang sampai bila-bila oleh rakyat Malaysia, hasil daripada prestasi cukup cemerlang para atlet kita yang berentap di sana.

Daripada 163 negara dan lebih 4000 atlet yang bertanding, kontinjen kita berjaya meraih tempat ke-36, dengan pungutan 3 pingat emas dan 1 pingat gangsa. Ini adalah kejayaan yang luar biasa, sebagaimana luar biasanya atlet kita yang bertanding.

Tahniah Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, emas acara 100m, Muhamad Ziyad Zolkefli, emas acara lontar peluru, Abdul Latif Romly, emas acara lompat jauh, dan Siti Noor Radiah Ismail, gangsa acara lompat jauh. Keempat-empat anda telah mengharumkan serta menjulang nama Malaysia di persada sukan antarabangsa, dan kami amat bangga.

Kepada atlet-atlet lain yang bertanding, usah kecewa tidak dapat pungut pingat. Kegigihan anda tiada tandingannya, dan meskipun ia tidak membuahkan pingat di sana, tahulah bahawa anda tetap wira dan wirawati rakyat Malaysia.

Lebih daripada itu, anda semua telah membuka mata penggemar sukan di Malaysia dan serata dunia bahawa usaha dan semangat yang gigih tanpa kenal erti lelah melampaui batas fizikal yang mungkin ada.

Teruskan berusaha dan berlatih dengan gigih, Insya-Allah kerajaan akan terus memberikan segala bantuan dan sokongan yang diperlukan, sama ada dari segi kelengkapan , kewangan mahupun moral. Pada masa sama, saya menyeru kepada pihak swasta untuk turut sama memberikan sokongan kepada atlet-atlet kita untuk terus mereka berusaha menempa kejayaan.

Saya percaya bahawa keringat dan usaha para atlet kita untuk mengharumkan nama negara, dalam apa jua acara dan peringkat, adalah sama dan serupa. Maka sesuailah untuk insentif dan penghargaan yang diberi hasil kejayaan mereka juga sama dan serupa.

Sebab inilah juga mengapa Malaysia adalah antara segelintir kecil negara yang memberi penghargaan kejayaan sukan sama kepada atlet biasa dan atlet luar biasa. Ini akan kita tunaikan, Insya-Allah.

Saya, dan rakyat Malaysia semua telah lama yakin bahawa satu hari nanti kita akan dapat lihat saat membanggakan Jalur Gemilang dikibarkan dengan lagu kebangsaan dimainkan di pentas tertinggi sukan antarabangsa. Dan hari itu telah tiba, bukan sekali, bukan dua tetapi tiga kali Negaraku berkumandang di bumi Rio kali ini.

Tahniah, terima kasih, dan teruskan usahamu atlet-atlet luar biasa!