24 Ogos, 2017

Tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2017


Majlis Tertinggi UMNO bersetuju bahawa Perhimpunan Agung tahun ini akan berlangsung dari 5 hingga 9 Disember 2017.

Majlis Tertinggi juga mengambil maklum bahawa persidangan-persidangan peringkat UMNO Bahagian berjalan dengan baik, mendapat sambutan baik dan tidak ada insiden yang tak diingini berlaku.

Semangat ahli-ahli UMNO juga cukup tinggi, menunjukkan kesiapsiagaan jentera parti untuk menghadapi PRU14 berada pada tahap yang diharapkan. Walaupun begitu, masih ada kerja-kerja yang perlu kita lakukan menjelang pilihan raya nanti.

Berkenaan keadaan negara, saya maklumkan prestasi ekonomi kita juga menjurus kepada keadaan yang lebih memberangsangkan. Pencapaian KDNK negara suku ke-2 tahun ini mencecah 5.8%, bererti bahawa untuk 6 bulan tahun ini kita telah mencapai kadar pertumbuhan 5.7%.

Rizab Bank Negara Malaysia telah pun melebihi paras USD 100 bilion dan prospek akan datang menurut badan antarabangsa yang membuat ramalan menyatakan bahawa ekonomi kita berada di atas landasan yang akan membawa ke pencapaian pertumbuhan ekonomi lebih tinggi berbanding dulu, Insya-Allah.

Sentimen pengguna juga positif, ini bererti usaha-usaha yang kita lakukan melalui Dasar Transformasi Nasional dan penekanan seperti pelancaran MRT mendapat sambutan yang sangat positif.

Pada masa sama, saya lihat mood negara kini berada dalam keadaan positif, lebih-lebih lagi dengan Sukan SEA ke-29 yang kini sedang berlangsung. Sokongan rakyat boleh dikatakan memuncak di setiap acara pertandingan dan ahli-ahli sukan kita berhempas pulas untuk mencapai kejayaan demi negara.

Mudah-mudahan sekiranya prestasi ini berlanjutan, Malaysia berpeluang baik untuk jadi juara, Insya-Allah.

Sebagai sebuah kerajaan kita akan terus beri keutamaan kepada projek-projek dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Saya harap keadaan positif ini mencerminkan pertambahan keyakinan rakyat bahawa kita sedang membawa negara ke arah yang lebih baik dalam menyempurnakan kehendak serta aspirasi semua.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles, Press Statement