30 Disember, 2018

Terima Kasih Penduduk Langkawi


Minggu lalu, saya berkunjung ke Pulau Langkawi.

Peluang itu turut saya gunakan untuk bertemu dengan ramai penduduk tempatan serta dengan ahli-ahli parti UMNO dan MIC di sana.

Saya sempat bertemu pengusaha kedai, pemandu teksi, pengusaha pelancongan dan sebagainya.

Ramai yang mengeluh aktiviti ekonomi di sana telah menyusut sejak PRU14. Pelancong telah berkurangan sama ada pelancong domestik ataupun dari negara China.

Ada yang mengadu perniagaan mereka kini amat susah dan bisnes sudah menyusut sebanyak 40% di masa kos sara hidup semakin naik selepas SST dilaksanakan.

Ada beberapa pemandu teksi meluahkan perasaan tidak puas hati dan ada juga yang meminta maaf kepada saya kerana telah terpengaruh selepas diberitahu oleh pihak-pihak tertentu bahawa Uber dan Grab akan dimansuhkan apabila PH menang tetapi ini semua tak menjadi kenyataan.

Beberapa orang penduduk di sana mengucapkan terima kasih kepada saya kerana meluluskan kerja penambahbaikan dan pembinaan jeti ketika kerajaan BN sebelum ini dan sudahpun disiapkan.

Saya juga diberitahu bahawa projek perluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi yang bermula pada Oktober 2017 juga telah siap pada bulan September yang lalu.

Kapasiti lapangan terbang itu telah dinaikkan daripada 1.5 juta penumpang setahun kepada 4.0 juta penumpang setahun serta banyak kemudahan-kemudahan telah ditambah.

Apapun, udara Langkawi yang segar, anak-anak tempatan yang mesra dan pemandangan indah Langkawi kekal di hati selepas saya pulang.

Terima kasih kepada penduduk Langkawi.

Insha Allah jika dizinkan Allah, kita akan bertemu lagi.