Transformasi Bandar Bentong

By February 13, 2017 Blog, Featured Articles

Semalam saya ke Bentong untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama masyarakat tempatan.

Lawatan kali ini cukup bermakna apabila saya berpeluang untuk bertemu dan berbual mesra dengan hadirin, kira-kira 20,000 penduduk daripada pelbagai kaum yang hadir di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di Dataran Bentong.

bentong 2

Saya telah mengambil kesempatan itu untuk menegaskan bahawa kesederhanaan atau moderation amatlah penting dalam memelihara keamanan negara kita yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Ini adalah penting bagi membolehkan Kerajaan merangka serta melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

Hanya dengan kesederhanaan, rakyat pelbagai kaum di negara ini dapat terus bersatu padu dan bebas mengamalkan agama dan budaya masing-masing tanpa sebarang halangan dan persengketaan.

bentong 3

Dari segi rancangan pembangunan, saya lihat Bentong sebagai sebuah bandar yang berpotensi tinggi disebabkan beberapa faktor utama, antaranya kekayaan bandar ini dengan sumber alam semula jadi yang menjadi tarikan kepada pelancong selain lokasinya yang strategik.

Saya percaya bahawa melalui pembinaan Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Tumpat dan Kuantan dengan Kuala Lumpur serta projek Central Spine Road (CSR) Bentong Bypass, potensi bandar ini dapat direalisasikan dan pembangunan yang pesat akan dapat dibawa ke Bentong. Lanskap Bentong semestinya akan mengalami transformasi yang besar di mana ekonomi Bentong akan lebih terbuka dengan akses yang diwujudkan.

Bayangkan perjalanan antara Bentong dan Gombak hanya akan mengambil masa 25 minit dengan menaiki ECRL berbanding 90 minit dengan menaiki kereta melalui Lebuhraya Karak. Ini membolehkan Bentong menjadi bandar satelit kepada Greater Kuala Lumpur.

Bentong juga bakal menjadi destinasi yang menarik sebagai salah satu bandar untuk didiami bagi mereka yang bekerja di Kuala Lumpur, selain Seremban pada masa kini. Lebih daripada itu, industri-industri seperti ekopelancongan bakal diberi nafas baharu dengan wujudnya sistem perhubungan yang holistik.

Peluang-peluang sebegini sudah semestinya akan meningkatkan taraf hidup masyarakat Bentong kelak yang sebelum ini banyak terlibat dalam kegiatan ekonomi tradisional seperti perladangan dan pertanian.

Insya-Allah.

bentong 1