Transit Aliran Ringan 3 (LRT3)

By August 24, 2016 Blog, Featured Articles

Menjelang tahun 2020, penduduk di kawasan Kuala Lumpur dan Lembah Klang akan menikmati satu lagi pembangunan, hasil daripada Dasar Transformasi Negara iaitu projek Transit Aliran Ringan 3, LRT3. Dalam Majlis Pelancaran LRT3 di Shah Alam pada petang tadi, saya turut berkongsi bahawa LRT3 ini merupakan salah satu agenda transformasi pengangkutan awam yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 2 juta penduduk.

WhatsApp Image 2016-08-24 at 9.26.56 PM

Kerajaan sedar bahawa nadi pertumbuhan sesebuah negara adalah di bandar utamanya. Oleh sebab itulah kita letakkan projek utama seperti MRT dan LRT3 di kawasan bandar dan berkepadatan tinggi yang sekaligus akan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. LRT3 akan mempunyai 26 buah stesen termasuk 25 stesen bertingkat dan satu stesen bawah tanah, meliputi kawasan sejauh 37 kilometer serta menghubungkan bandar di koridor Barat Lembah Klang, seperti Bandar Utama, Shah Alam dan Klang. LRT3 dijangka akan menampung 74,000 pengguna sehari. Pembinaan projek LRT3 ini dibangunkan secara konsep Rakan Pelaksana Projek serta akan menggunakan teknologi ‘U-Through’. Ia merupakan projek pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi seperti ini.

WhatsApp Image 2016-08-24 at 9.26.56 PM (1)

Dalam majlis yang sama, saya telah mengumumkan bahawa pengguna LRT dan monorail Rapid KL akan menikmati diskaun 50% jika menggunakan perkhidmatan ini antara jam 6 hingga 7 pagi bermula 16 September ini. Insya-Allah, ramai pengguna yang akan mendapat manfaat daripada pengumuman ini.

WhatsApp Image 2016-08-24 at 9.26.56 PM (4)

Saya berharap agar kerja-kerja pembinaan yang dijadualkan bermula pada awal tahun 2017 bukan sahaja akan mengikut standard pembinaan bertaraf dunia malah juga standard keselamatan bertaraf dunia. Apabila siap kelak, LRT3 akan membentuk jaringan pengangkutan awam yang berintegrasi dengan rangkaian pengangkutan awam sedia ada seperti Mass Rapid Transit, KTM Komuter, Bus Rapid Transit serta laluan LRT aliran Kelana Jaya.

Dengan adanya LRT3, semoga usaha kita untuk mentransformasi sistem pengangkutan awam selaras dengan Pelan Induk Pengangkutan Awam Darat Greater KL / Lembah Klang akan maju selangkah lagi dan Insya-Allah dapat memudahkan lagi pengangkutan rutin penduduk di kawasan Lembah Klang selain meningkatkan taraf sosio-ekonomi negara.

WhatsApp Image 2016-08-24 at 9.26.56 PM (3)