25 Februari, 2016

Tunas Usahawan Belia Bumiputera


Alhamdulillah, tengah hari semalam saya menghadiri Majlis Apresiasi Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) anjuran SMECorp di Menara MITI.

Sejak saya lancarkan pada 29 Mac 2014 yang lalu, saya telah mengikuti perkembangan program TUBE ini yang saya fikirkan dapat membantu meningkatkan pendapatan belia bumiputera golongan berpendapatan rendah.

tunas1

Setelah hampir setahun dilancarkan, saya dapat berjumpa peserta-peserta program TUBE dari seluruh negara, mendengar kisah kejayaan dengan suara mereka sendiri.

Saya kagum dengan kegigihan dan kecekalan mereka sehingga berjaya ke tahap yang amat membanggakan.

From zero to hero!

tunas2

Saya duduk bersama usahawan-usahawan ini semalam, saya tanya saudara Hairul pekerjaan beliau sebelum menyertai program TUBE. Dengan jujur dan berterus-terang dia beritahu saya bahawa dia dahulu seorang mat rempit.

tunas3

Kini, Hairul Azuan bin Mazlan adalah seorang majikan dengan ramai pekerja di bawahnya, dengan keuntungan jualan puluhan ribu ringgit. Alhamdulillah berkat usaha dan semangat jitu serta bantuan kerajaan yang disediakan, Hairul Azuan berjaya menukar hidupnya, dari seorang yang tiada apa dengan masa depan kelam sehinggalah kini menjadi usahawan berjaya.

Saya juga tersentuh hati mendengar kisah Puan Manisah Ladi dari Sabah, seorang ibu tunggal dengan 3 orang anak berumur dari 4 hingga 7 tahun yang menyertai kem TUBE.

tunas4

Satu hari beliau beritahu kepada urus setia kem bahawa beliau perlu pulang kerana tiada siapa menjaga anak-anaknya, tetapi dengan berkat usaha para penyelia, mereka berjaya mengusahakan untuk membawa 3 anaknya ke kem untuk dijaga oleh Puan Manisah sendiri.

Alhamdulillah, hari ini Puan Manisah berjaya sebagai seorang usahawan dengan keuntungan tahunan melebihi RM40,000 tahun lalu. Katanya, “walau macam mana besar pun masalah kita, kita kena yakin bahawa pasti akan ada jalan penyelesaian”.

Kedua-dua kisah ini cuma sebahagian daripada banyak kisah-kisah kejayaan para usahawan belia bumiputera yang telah mendapat manfaat daripada program TUBE, Alhamdulillah.

Saya harap kelak lebih ramai lagi belia-belia di luar sana mencontohi semangat gigih usahawan-usahawan TUBE yang telah berjaya dan mengambil peluang daripada inisiatif yang disediakan Kerajaan.