17 Oktober, 2016

Tuntutan bertindih di Laut China Selatan


YAB Perdana Menteri menjawab pertanyaan YB Rompin, Dato’ Hasan bin Arifin, berkenaan dengan tuntutan bertindih di Laut China Selatan di Parlimen pada pagi tadi. Berikut adalah jawapan yang telah diberikan oleh YAB Perdana Menteri. – Admin

 

SOALAN

Dato’ Hasan bin Arifin [Rompin] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah pandangan Malaysia terhadap kependudukan China di Kepulauan Spratly dalam isu perebutan Laut China Selatan dan adakah wujud perjanjian di antara Malaysia dengan Amerika Syarikat dan Australia berkaitan perkara tersebut.

 

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Saya akan menjawab pertanyaan YB Rompin ini bersekali dengan pertanyaan-pertanyaan yang dikemukakan kepada Menteri Luar Negeri oleh YB Ketereh bertarikh 26 Oktober 2016, YB Stampin bertarikh 31 Oktober 2016, YB Kuala Selangor dan YB Klang bertarikh 01 November 2016, YB Rompin bertarikh 03 November 2016, YB Mersing bertarikh 7 November 2016, YB Marang bertarikh 14 November 2016 serta YB Putatan bertarikh 22 November 2016 kerana kesemua pertanyaan ini menyentuh isu berkaitan Laut China Selatan.

2. Sebagai sebuah negara yang berdaulat, Malaysia berpendirian bahawa sebarang masalah, perbezaan dan pertikaian hendaklah ditangani setelah diselesaikan melalui dialog dan jalan perundingan (peaceful negotiation) termasuk isu Laut China Selatan.

3. Secara umumnya, isu Laut China Selatan melibatkan dua aspek:-

Pertama, keperluan memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serta kebebasan pelayaran dan penerbangan, atau dengan izin, freedom of navigation and over-flight.

Kedua, tuntutan bertindih melibatkan beberapa buah negara iaitu Brunei Darussalam, Filipina, Malaysia, Vietnam serta China.

4. Justeru, bagi memastikan keamanan, kestabilan dan mengelakkan ketegangan di Laut China Selatan, negara-negara ASEAN dan China telah menandatangani Deklarasi Tatalaku Pihak–pihak Berkepentingan di Laut China Selatan, atau dengan izin, Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) pada 4 November 2002.

5. Melalui DOC, negara-negara ASEAN dan China bertekad untuk melaksanakan usaha–usaha bagi membina dan meningkatkan kesalingpercayaan serta menangani sebarang perbezaan secara rundingan.

6. Pada masa ini, negara-negara ASEAN dan China sedang berusaha untuk mewujudkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan, atau dengan izin, Code of Conduct in the South China Sea (COC).

7. Sayugia saya nyatakan bahawa DOC serta COC yang sedang diusahakan bukanlah instrumen untuk menyelesaikan tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

8. Sesungguhnya, pendirian Malaysia berhubung isu Laut China Selatan adalah jelas dan konsisten. Semua negara mestilah memastikan keamanan dan kestabilan, dan sebarang tindakan yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan, menimbulkan ketegangan, kebimbangan dan kecurigaan serta bersifat provokatif hendaklah dielakkan.

9. Berhubung tuntutan bertindih di Laut China Selatan, Malaysia berpendirian ia hendaklah diselesaikan secara aman. Semua tuntutan dan penyelesaiannya mestilah berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuklah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 atau UNCLOS 1982.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

10. Berhubung dengan isu kependudukan serta aktiviti-aktiviti penambakan dan pembinaan yang dilaksanakan oleh China termasuklah pembinaan landasan terbang di Fiery Cross Reef, saya ingin maklumkan bahawa isu ini tidak melibatkan kawasan maritim Malaysia.

11. Berhubung dengan penghakiman atau Award yang diberikan oleh Tribunal Timbangtara pada 12 Julai 2016 berhubung kes yang dikemukakan oleh Filipina terhadap China, Kerajaan telah mengeluarkan satu kenyataan melalui Kementerian Luar Negeri.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

12. Sememangnya, Kerajaan sentiasa memberikan perhatian yang khusus kepada isu Laut China Selatan. Di dalam mengendalikan isu Laut China Selatan, Kerajaan menjadikan kepentingan negara sebagai asas utama di dalam setiap tindakan yang diambil. Justeru itu, tidak ada sebarang perjanjian dengan mana-mana negara termasuklah Amerika Syarikat dan Australia berhubung dengan isu Laut China Selatan ini.

13. Maka, rondaan, pengawasan, pemantauan dan penguatkuasaan sentiasa dilaksanakan bagi memastikan kepentingan dan keselamatan negara di Laut China Selatan sentiasa terpelihara. Selain daripada itu, usaha-usaha diplomasi di peringkat bilateral serta serantau dan antarabangsa khususnya di bawah kerangka ASEAN terus dilaksana dan dipertingkatkan.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

14. Perlu saya jelaskan bahawa Negara China merupakan negara sahabat dan strategik kepada Malaysia. Hubungan rapat dengan China telah berkembang pesat sejak hubungan diplomatik dibina pada tahun 1974. Umpamanya China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar serta punca pelaburan dan pelancongan yang sangat penting dan terus meningkat.

15. Justeru, perbezaan pendapat dengan Negara China dalam isu Laut China Selatan tidak seharusnya menghalang hubungan ekonomi dan perniagaan serta hubungan-hubungan lain termasuk bidang pertahanan, yang sewajarnya terus diperkasakan demi kepentingan bersama.

Sekian, terima kasih.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles