Ucapan Perdana Menteri Mengenai Kad Diskaun Bagi Membantu Mereka Yang Memerlukan

By October 6, 2017 Audio, Blog, Featured Articles

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

dan Salam 1Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Pertamanya, ingin saya tekankan bahawa kerajaan mengambil berat keluhan rakyat berkenaan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Dan atas kesedaran inilah pelbagai inisiatif telah dijalankan seperti mengawal harga barangan keperluan tertentu.

Namun untuk mengawal kesemua barang dalam keadaan ekonomi negara yang semakin kompleks adalah mustahil.

Justeru, kerajaan telah memperkenalkan 7 jenis kad diskaun untuk bermacam kumpulan sasar dari pelbagai lapisan masyarakat agar beban mereka dapat dikurangkan.

Jika Kad Friends of KPDNKK disediakan untuk umum, Kad Ceria pula  dikeluarkan untuk penduduk di semua Wilayah Persekutuan sahaja, dan Kad OKU pula memberi pelbagai manfaat dan kemudahan untuk pemilik.

Selain itu, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia pula direka agar berfungsi sebagai kad debit, kad ATM dan juga kad diskaun untuk para penuntut institut pengajian tinggi.

Anggota keselamatan juga diperuntukkan khas dengan 1Malaysia Privilege Card dan para pesara juga tidak dilupakan khidmat mereka dengan penyediaan Kad Bekas Tentera dan Kad Pesara Kerajaan.

Kesemua ini adalah contoh bagaimana bantuan dari kerajaan kini lebih tersusun berbanding diberi secara pukul rata yang hanya akan memburukkan lagi jurang perbezaan ekonomi.

Kad-kad diskaun ini adalah antara pelbagai lagi inisiatif yang telah diperkenalkan sebelum ini agar dapat terus membantu kehidupan rakyat yang lebih memerlukan.

Dan dasar-dasar membela kehidupan mereka yang kurang bernasib baik serta secara langsung ini juga akan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan hari ini.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.