22 Disember, 2017

Ucapan Perdana Menteri Mengenai Peluang Pekerjaan dalam Bajet 2018


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

dan Salam 1Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan adalah salah satu fokus utama dalam Bajet 2018 agar rakyat terutamanya golongan belia mendapat manfaat sepenuhnya dari perkembangan ekonomi Malaysia yang semakin baik.

Kadar 3.3 peratus pengangguran di Malaysia tahun ini adalah yang terendah di rantau ini dan Kerajaan menyasarkan untuk menyediakan 3.3 juta peluang pekerjaan menjelang tahun 2020 dan kita kini sudah mencapai 69 peratus iaitu 2.26 juta peluang pekerjaan.

Bagi membolehkan lebih banyak peluang pekerjaaan diwujudkan, Kerajaan memperuntukkan RM1 bilion untuk Koridor Ekonomi seperti Projek Wilayah Selatan Perak, Zon Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam, Kawasan Perindustrian Tok Bali dan Empangan Baleh Sarawak dan banyak lagi peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.

Bagi mempersiapkan tenaga kerja mahir dan separuh mahir, Kerajaan memperuntukkan dana RM4.9 bilion agar lebih ramai anak muda mendapat latihan teknikal dan vokasional.

Terdapat juga pelbagai peluang untuk golongan belia dan mahasiswa membangunkan bisnes kecil dan sederhana melalui dana dan pembiayaan, geran dan pinjaman dengan jaminan Kerajaan.

Ini selari dengan hasrat menjadikan golongan belia dan mahasiswa bukan sahaja menjadi pekerja tetapi mampu mencipta peluang pekerjaan sebagai usahawan.

Pelaksanaan program kebolehpasaran seperti Skim Latihan 1Malaysia juga adalah usaha Kerajaan untuk menjamin peluang pekerjaan bagi para mahasiswa.

Pesan saya kepada anak-anak muda, jadilah lebih proaktif dan berani untuk keluar dari zon selesa, dan manfaatkanlah sepenuhnya peluang-peluang yang disediakan untuk saudara dan saudari.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Audio, Blog