20 April, 2018

Ucapan Perdana Menteri Mengenai Projek-Projek Rangsangan Ekonomi


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

dan Salam 1Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Untuk melonjakkan ekonomi dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat, Malaysia memerlukan projek-projek rangsangan ekonomi, terutamanya di kawasan yang sedang membangun.

Ini kerana Kerajaan berharap agar pembangunan dapat dirasai di seluruh negara dan oleh setiap lapisan masyarakat.

Antara projek –projek rangsangan ekonomi adalah projek Landasan Keretapi Pantai Timur ECRL, Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur – Singapura HSR, Lebuhraya Pan Borneo, Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange, MRT, Pengerang, KL118 dan sebagainya.

Walau bagaimanapun pembangkang mahu mencantas projek-projek perangsang ekonomi ini sekiranya mereka memerintah negara.

Sekiranya projek-projek pembangunan ini dibatalkan, sebanyak 2.2 juta peluang pekerjaan akan hilang begitu sahaja, termasuk pekerja mahir yang berpendapatan lebih RM3,000.

Bukan itu sahaja, dengan membatalkan projek ECRL, negeri-negeri Pantai Timur tidak menerima pembangunan seiring dengan Lembah Kelang.

Faktor ini menyebabkan pendapatan rakyat di Pantai Timur selama ini sukar ditingkatkan. Malah pelabur asing juga akan hilang kepercayaan kepada negara kita kerana sewenang-wenangnya membatalkan projek pembangunan yang menjadi kunci pembangunan ekonomi dan penambahan pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Akhir kata, tujuan Kerajaan melaksanakan projek-projek pemangkin ekonomi ini adalah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat bukan seperti pihak pembangkang yang ingin membatalkan projek tersebut semata-mata kerana agenda politik sahaja tanpa memikirkan kesan terhadap ekonomi negara dan kepentingan rakyat.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Shares Share Kategori : Audio, Blog