24 April, 2017

Ucapan Sembah Tahniah dan Ikrar Taat Setia


UCAPAN SEMBAH TAHNIAH DAN IKRAR TAAT SETIA
YAB. DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABD. RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA ISTIADAT PERTABALAN SERI PADUKA BAGINDA
YANG DI PERTUAN AGONG XV, SULTAN MUHAMMAD V
PADA 24 APRIL 2017, HARI ISNIN
ISTANA NEGARA

Bismillahir Rahmanir Rahim.
Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa biHi Nastai’n,
Allahumma Solli A’la Saidina Muhammad, wa A’la A-li Saidina Muhammad,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.

Didahulukan segalanya, seraya mengangkat puji-pujian dan rasa syukur ke hadrat Allah Hu Taa’la, yang telah memberi izin dan limpahan kurnia-Nya kepada kita semua, sehingga dapat berhimpun dalam satu lagi majlis yang penuh bermakna pada pagi ini.

Ampun Tuanku,

Menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XV, Sultan Muhammad V.

Bagi memukadimah bicara, patik mewakili pihak Kerajaan, anggota keselamatan, penjawat awam dan sekalian rakyat Malaysia mempersembahkan setinggi-tinggi junjungan kasih serta ikrar taat setia kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, sempena pertabalan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kelima belas, pada pagi yang penuh beristiadat ini.

Pada kesempatan ini juga, patik bagi pihak rakyat jelata sekalian, merakamkan junjungan kasih yang tidak terhingga Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, selaku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-14, yang telah menamatkan tempoh pemerintahan Baginda pada 12 Disember 2016 yang lalu.

Bak kata pantun Melayu,

Dulu Alor Setar, Kini Kota Bharu,
Duduk Bersemayam, di Singgahsana,
Kepada Yang lama, Mahupun Yang Baharu,
Institusi di-Raja, Payung Negara.

Ampun Tuanku,

Sesungguhnya, jika disemak sejarah dan adat istiadat Raja-Raja Melayu, istiadat pertabalan adalah satu hari yang penuh keceriaan dan kegembiraan.

Sekalipun susur galur tradisi ini bukanlah sampai ke tahap amalan purba lama, kerana ia baru sahaja menjadi sambutan apabila seorang Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ditabalkan selaku Ketua Negara, menurut peruntukan-peruntukan perlembagaan sejak tahun 1957.

Jika disisir sejarah tanahair, kali pertama Ketua Negara kepada Malaysia yang berdaulat dan merdeka ini, ditabal secara rasmi adalah pada 31 Ogos 1957.

Setelah dijajah oleh Inggeris selama lebih 130 tahun, akhirnya kemerdekaan tanahair diperolehi dan muncul jua.

Selepas pertabalan buat kali pertama itu, kita menyaksikan pertabalan demi pertabalan diamalkan sehinggalah kepada hari ini.

Sayugia, majlis pertabalan ini menjadi perlambangan betapa utuhnya institusi kebangsaan yang telah terzahir sejak enam dekad lalu, khususnya sebagai Custodian of the religion of Islam and the Defender of the Malays and the rights of all citizens, dan pastinya jua kepada rakyat keseluruhan, sekaligus memasyhurkan bahawa, inilah dia Raja selaku Ketua Negara bagi Malaysia ke seluruh dunia.

Ampun Tuanku,

Dipetik daripada karangan Dustur wa Salatin, Malaysia masih menjadi salah satu daripada 43 negara yang masih diiktiraf mengekalkan pengamalan sistem pemerintahan Beraja.

Secara khusus lagi, di Asia Tenggara, hanya terdapat 4 buah negara yang telah meneruskan sistem beRaja iaitu Malaysia, Brunei Darussalam, Kemboja dan Thailand.

Hakikatnya, pelbagai corak pemerintahan beraja masih berlangsung sama ada bersifat Absolute Monarchy atau Monarki Mutlak seperti di Arab Saudi, Oman, Jordan, Qatar dan Brunei Darussalam.

Manakala selain daripada sistem beRaja Mutlak, terdapat juga negara-negara yang mengamalkan sistem Limited Monarchy atau Monarki Terhad dan Semi Constitutional Monarchy, di mana Raja-Raja mempunyai kuasa-kuasa yang dihadkan melalui perjanjian-perjanjian, atau pun peruntukan-peruntukan perlembagaan. Ini wujud di negara-negara seperti Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Maghribi.

Ampun Tuanku,

Dalam konteks Malaysia, seperti yang ramai sedia maklum, negara ini mengamalkan sistem monarki berperlembagaan. Sistem ini membawa maksud bahawa, segala hak dan keistimewaan Raja-Raja, telah diperuntukkan serta ditentukan dengan jelasnya dalam perlembagaan.

Berkait dengan kedudukan Ketua Negara, bergelar Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, melalui proses penggiliran yang amat unik di mana seorang Raja akan dipilih setiap 5 tahun sekali di kalangan 9 Raja-Raja Melayu.

Setakat hari ini, Malaysia telah pun mempunyai 15 orang Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sejak mencapai kemerdekaan 60 tahun yang lalu.

Sesungguhnya, institusi Yang di-Pertuan Agong ini adalah unik, kerana ia bukanlah amalan di negara-negara beraja lain di dunia. Ia tidak melalui sistem undian oleh rakyat dan bukan juga diwarisi secara keturunan.

Institusi ini, tidak lain dan tidak bukan, menjadi kesinambungan kepada tradisi pemerintahan Raja-Raja Melayu sejak zaman berzaman.

Sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia juga amat tertib menurut lunas-lunas yang ditetapkan, di atas roh juga semangat bahawa Raja dan Rakyat Berpisah Tiada.

Dalam ertikata Raja dan rakyat saling lengkap melengkapi, sebagaimana yang telah disumpah-janji oleh Sang Sa Purba dan Demang Lebar Daun di Bukit Saguntang Mahameru.

Raja dan Rakyat Berpisah Tiada juga bermaksud, kuasa-kuasa Raja yang ada adalah, tanpa mengambil atau menafikan hak-hak rakyat jelata demi menaungi kesejahteraan ramai.

Seperti dipetik dan dinasihatkan dengan indah dalam naskhah agung Sejarah Melayu lagi, bahawa,…
Raja-Raja itu, jikalau bagaimana sekalipun tahunya, seandai tiada muafakat dengan segala pegawai, tiadalah akan sentosa Kerajaannya.

Pada helaian yang lain pula dimadahkan,…
Raja itu umpama pohon, manakala rakyat pula ibarat akarnya.

Ampun Tuanku,

Pucuk pangkalnya, Institusi Raja atau dalam konteks Kerajaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, adalah pancaran kepada ‘Jatidiri Negara’, yakni ‘Personification of the Nation’.

Dalam ertikata lain, apabila orang luar bertanya-tanya dalam kehalusan santun budaya, apakah itu negara Malaysia,… maka jawabnya,…

Baginda Tuanku-lah sebagai cerminan dan jelmaan, yakni manifestasi kepada ‘Adicita’ atau ideologi Rukun Negara, yang menjadi asas kepada sebuah negara bangsa, makmur lagi merdeka.

Ampun Tuanku,

Berbalik kepada Kerajaan Tuanku, seperti mana semua maklum, dalam era pentadbiran ini, Dasar Transformasi Nasional atau DTN menjadi pemangkin untuk memacu Malaysia memasuki gelanggang negara maju, High Income Advanced Economy dalam tempoh beberapa tahun lagi, sehingga satu hari nanti, Malaysia terjulang pada kedudukan 20 negara termaju di dunia. InsyaAllah.

Melalui Program Transformasi Nasional, yang patik akan bentangkan laporan tahunannya bagi kali keenam sebelum penghujung bulan ini, Kerajaan telah berjaya mencapai pelbagai kejayaan dan mendapat pengiktirafan daripada Badan-Badan Pengabsah di peringkat antarabangsa.

Alhamdulillah, meskipun negara tidak lari daripada berdepan dengan kesuraman ekonomi global, akan tetapi, menurut Bank Dunia, pertumbuhan ekonomi Malaysia, akan berkembang pada kadar 4.3 peratus bagi tahun 2017.

Malah, pada minggu lepas pula, patik bagi pihak Kerajaan Tuanku, telah melancarkan satu lembaran baharu kepada Dasar Bumiputera, setelah 45 tahun Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan oleh Allahyarham Ayahanda patik, Tun Haji Abdul Razak, pada tahun 1971.

Dasar dan Halatuju Bumiputera dalam fasa yang selanjutnya ini, dinamakan sebagai Transformasi Kesejahteraan Bumiputera atau TKB. Dasar ini bersifat inklusif kerana ia bukan sahaja mencakupi pencapaian Bumiputera di sudut ekonomi, bahkan merentasi semua aspek kehidupan. Malah pada petang semalam pula, patik telah merasmikan Malaysian Indian Blueprint (MIB), menunjukkan bahawa Kerajaan Tuanku berlaku adil kepada semua kaum.

Ampun Tuanku,

Merujuk kepada hal menjaga keselamatan negara pula, demi mempastikan keamanan negara ini sentiasa menjadi keutamaan, Kerajaan Tuanku akan meningkatkan lagi tahap keselamatan, terutama di perairan dan setiap penjuru pintu masuk ke negara ini.

Atas sebab itu, syukur kepada yang Maha Esa, kerana baru-baru ini, antara lain, pihak Kerajaan yang prihatin terhadap rakyat Malaysia, telah berjaya membawa pulang 5 rakyat negara ini, yang diculik selama 8 bulan 1 minggu oleh Kumpulan Abu Sayyaf. Peristiwa yang sangat menyayat hati tersebut, disaksikan sendiri oleh patik dan ia amat bermakna kepada rakyat Tuanku.

Begitu jugalah halnya dengan hubungan Kuala Lumpur dan dunia antarabangsa. Berkait isu negara Korea Utara, selain mengekalkan hubungan diplomatik dengan negara berkenaan, melalui perundingan, syukurlah, Kerajaan Tuanku telah berjaya membawa pulang dengan selamatnya 9 orang rakyat Malaysia dari negara tersebut ke tanahair.

Ampun Tuanku,

Di sudut lain, Kerajaan Malaysia sebagai negara Islam yang dinamik dan progresif, amat komited dan penuh iltizam dengan mengamalkan konsep kesederhanaan, yakni prinsip wasatiyyah, dalam sistem pentadbiran serta kepemimpinan di negara ini, sehingga Kabinet telah meluluskan Dasar Wasatiyyah Negara.

Hasilnya, melalui lawatan bersejarah Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, Raja Arab Saudi, yakni Penjaga Dua Masjid Suci, Baginda telah berkenan untuk ditubuhkan sebuah Pusat Keamanan Antarabangsa, King Salman Centre of Global Peace berpusat di Malaysia.

Dari aspek ekonomi pula, syarikat Saudi Aramco, yang dimiliki oleh Kerajaan Arab Saudi, telah melabur sejumlah 31 bilion ringgit, di dalam projek RAPID PETRONAS, yang merekodkan antara pelaburan terbesar pernah dibuat oleh mana-mana syarikat di Malaysia.

Selain itu, kita bersyukur kerana, kuota jemaah haji Malaysia telah dinaikkan kepada lebih 30 ribu orang bermula pada tahun ini.

Ampun Tuanku,

Sungguh molek patik rakamkan dalam ucapan sembah tahniah pertabalan ini, betapa sekalian rakyat jelata berasa gembira dan sukacita, dengan Tuanku selaku Yang di-Pertuan Agong, yang muda serta segak, lagi penuh bertenaga.

Ini bertepatan dengan letak duduk Malaysia yang mana majoriti penduduknya adalah daripada golongan muda, yang memerlukan suntikan semangat daripada seorang Raja yang dengan izin,… A Young Energetic King and full of zest.

Demikianlah tentang masa depan negara, demi mewariskan Malaysia yang lebih gemilang, Kerajaan Tuanku telah melakarkan visi Transformasi Nasional 2050 atau TN50, agar lahirnya nanti generasi Khayra Ummah yang par excellence.

Ampun Tuanku,

Pada hemat patik lagi, Tuanku juga merupakan seorang Raja yang dek ibarat pepatah Melayu, telah jauh berjalan, dan luas pengalaman serta telah menerima pelbagai disiplin pendidikan sama ada dari institusi pendidikan dalam mahupun luar negara, dalam memperlengkapkan diri menjadi seorang Raja.

Seperti yang ramai sedia maklum jua, Tuanku adalah seorang Raja berjiwa rakyat yang mudah didekati dan tidak ketat dengan protokol.

Pada hemah patik, ini ternyata menjadi salah satu daya tarikan, untuk rakyat mengenali Tuanku secara dekat sepanjang tempoh pemerintahan ini. InsyaAllah.

Ampun Tuanku,

Akhirul kalam, patik bagi pihak Kerajaan bersama-sama dengan YAB Timbalan Perdana Menteri, berserta Anggota Pentadbiran dan rakyat sekalian, akan sentiasa mendoakan Tuanku agar terus dikurniakan taufik dan hidayah untuk bertakhta di singgahsana sebagai lambang kebesaran dan kebanggaan negara.

Moga-moga Allah Hu Taa’la mendatang-datangkan rahmat bahagia dan melimpah-limpahkan kurniaNya kepada Malaysia lagi dijauhkan daripada mara bahaya.

Ampun Tuanku.

Sekian sahaja persembahan ucapan patik.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles, Speeches