9 September, 2017

UCAPAN SEMBAH TAHNIAH KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG


UCAPAN SEMBAH TAHNIAH
KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA
SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG

OLEH
YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABD. RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA
HARI KEPUTERAAN RASMI SPB YDPA KE-15
DAN ISTIADAT PENGURNIAAN
DARJAH KEBESARAN PERSEKUTUAN

PADA 9HB SEPTEMBER 2017 (SABTU) JAM 10.00 PAGI
BERTEMPAT DI
ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR

BismilLahir Rahmanir Rahim,

Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, wabiHi Nasta’in,

Marilah kita bersama-sama mengangkat selawat ke atas Rasul junjungan, Nabi Muhammad SAW, semulia-mulia insan dan kekasih Allah.

Kita lafazkan dengan kalimah-kalimah, Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad, Wa a’la A-li Saidina Muhammad.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Ampun Tuanku,

1.    Menghadap, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, dengan kehendak yang Maha Berkuasa jua, kini bersemayam di atas takhta Persekutuan dengan segala kemuliaan dan kebesarannya.

Ampun Tuanku,

2.    Pertama-tamanya, dalam suasana pagi yang indah nan permai ini, patik selaku Perdana Menteri, mewakili pihak Kerajaan, para penjawat awam, pasukan keselamatan, dan sekalian rakyat di seluruh negara, merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT, seraya menjunjung setinggi sembah tahniah kepada Tuanku, pada detik yang berbahagia, di hari Keputeraan rasmi Tuanku ini.

3.    Pada pagi ini, 9 haribulan September 2017, bersamaan 18 Zulhijjah 1438 Hijriah, menandakan 8 hari sudah berlalu apabila umat Islam di Tanah Suci majoritinya sudah selesai mengerjakan ibadah Haji dan Malaysia sepertimana negara Islam yang lain di seluruh dunia menyambutnya dengan Hari Raya Korban.

4.    Makanya, bagi pihak Kerajaan Tuanku, kita berasa berbangga khususnya dengan prestasi Lembaga Tabung Haji yang telah berjaya memberikan khidmat yang sangat memuaskan sepanjang musim haji kepada semua yang sudah pulang dan akan kembali ke tanahair kita doakan agar memperoleh Haji yang Mabrur, InsyaAllah.

5.    Jadinya, mengambil sempena semangat pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Ismail dalam sirah korban itu, berbekalkan pula rasa penuh tawadhuk, sukalah patik ingin memulakan dengan memetik beberapa potongan ayat suci Al-Quran dari Surah Az-Zumar, A-li I’mran, Luqman dan Surah Ibrahim ayat 7, yang menerangkan tentang betapa pentingnya kita sebagai hamba Allah sentiasa bersyukur dan jangan sesekali meng-kufuri nikmat yang dikurniakan oleh Ilahi, kerana dalam perkara ini, Allah secara jelas memberi amaran keras kepada sesiapa yang ingkar, sesungguh azabNya adalah amat dahsyat.

Ampun Tuanku,

6.    Berbicara tentang soal kesyukuran, sesungguhnya nikmat Allah itu tidak terhitung, malah dalam konteks negara ini, dengan izin Maha Pencipta, saban masa, hari demi hari, Malaysia terus mampu mencipta pelbagai kejayaan demi kejayaan.

7.    Apatah lagi, sebagaimana yang ramai maklum, dalam waktu kurang lebih seminggu ini, negara kita telah mencatatkan beberapa sejarah istimewa lagi tersendiri, sehingga membawa apa yang disebutkan sebagai Double Joy yakni dua kegembiraan kepada Malaysia;

Pertama, pada 31 Ogos baru-baru ini, negara telah menyambut Hari Kebangsaan kali Ke-60. Perayaan Hari Kemerdekaan tahun ini bertambah seri dan bererti pabila:

Keduanya, Malaysia bukan sekadar mampu menjadi hos Temasya Sukan Sea Ke-29, malah telah dijulang sebagai Juara Keseluruhan dalam Sukan Terbesar di Asia Tenggara ini. Ternyata ini adalah pencapaian terhebat dalam sejarah Sukan SEA kepada Malaysia.

Serentak itu, kita tidak akan mudah berasa selesa dengan apa pun tahap pencapaian yang sudah diraih. Ini kerana, minggu hadapan, bermula 17 hingga 23 September, akan berlangsung pula satu lagi Temasya yang istimewa yakni Sukan Para ASEAN. Mudah-mudahan, pelbagai lagi rekod kejayaan akan dicipta, demi Negaraku Malaysia.

Ampun Tuanku,

8.    Sesungguhnya jua, pada hemat patik, kita bukan sahaja bak kata orang putih menikmati Double Joy, hakikatnya, negara kita telah mencapai Triple Joy, yakni kegembiraan berganda-ganda rakyat jelata, dalam mood feel good apabila, pada hari yang mulia lagi penuh istiadat ini, seluruh rakyat Malaysia seolah-olah mempersembahkan hadiah kepada Tuanku serta bersama-sama, meraikan semua hal-hal yang gembira, sempena Hari Keputeraan Rasmi Tuanku buat kali yang pertama, selaku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-15.

Ampun Tuanku,

9.    Berbalik kepada tawarikh negara, kemerdekaan negara ini sebenarnya membawa seribu satu pengertian dan menzahirkan makna yang tersendiri.

10.    Ia bukan barang mainan yang boleh dijual beli, sebaliknya kemerdekaan selama 6 dekad ini, telah mengajar kita supaya tabah dan terus berdikari, berdiri di atas kaki sendiri, sekaligus menyangkal segala dakwaan dan caci-perli bahawa kononnya Malaysia tidak akan berjaya. Sebaliknya kini, kita telah membuktikan setiap yang diperkatakan itu salah semata-mata.

Ampun Tuanku,

11.    Bermula apabila Leftenan Komander (B) Mohd Sharif Kalam, bersama dua rakannya Bintara Kanan (B) Oliver Culvelt Samuel dan Allahyarham Bintara Kanan Awang Mohd. Salleh telah mendapat peluang terpilih menaikkan bendera Malaysia secara rasmi buat pertama kalinya, sebaik sahaja Tunku Abdul Rahman melaungkan kalimat ‘MERDEKA’, pada pagi 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka.

12.    Sejak itu, selama 60 tahun kemerdekaan dan kini di bawah Kerajaan Tuanku, negara ini bukan sahaja telah bebas daripada penjajahan, bahkan berjaya Bangkit Bersama, membina kesedaran dan patriotisme sebagai negara Bangsa Bermaruah lagi Berjatidiri, demi komitmen untuk mencapai kemajuan.

13.    Kesimpulan katanya, erti kemerdekaan yang sebenarnya adalah dengan mensyukuri nikmat yang telah Tuhan kurniakan kepada Malaysia yang sehingga kini supaya berkat dan kekal selama-lama hendaknya.

Ampun Tuanku,

14.    Menyentuh tentang kejayaan Malaysia sebagai juara keseluruhan di Temasya Sukan SEA Ke-29, selepas 12 hari bertanding dengan 4,888 atlet dari seluruh Asia Tenggara, atlet negara berjaya memperolehi sebanyak 145 pingat emas atau 35.9 peratus daripada 404 pingat emas yang dipertandingkan, diikuti 92 perak dan 86 gangsa, mengatasi pencapaian 111 pingat emas yang telah digondol oleh negara dalam Sukan SEA pada tahun 2001.

15.    Apa yang patik ingin utarakan di sini adalah, tiada gambar seindah lukisan, tiada kata secantik bahasa, untuk menzahirkan betapa sukacitanya menyaksikan rakyat jelata dari pelbagai latar belakang, berbilang kaum dan agama, sehati sejiwa, tanpa sebarang perasaan prejudis, menjulang nama Malaysia.

16.    Saat-saat moments of unity and the spirit of solidarity sebeginilah azimat dan formula kejayaan hakiki, demi untuk Malaysia melangkah lebih jauh dalam usaha gigih kita untuk menempatkan Malaysia ke dalam gelanggang 20 negara terbaik serta terulung di dunia menjelang ufuk 2050 kelak. Insya Allah.

Ampun Tuanku,

17.    Menyentuh tentang semua hal tadi, di sebalik tabir kejayaan dan kemajuan yang dicapai, terbukti telah menuntut kepada usaha gigih yang tidak kunjung jemu oleh pelbagai pihak sama ada penjawat awam sebagai tunjang utama mahupun sektor swasta dan tidak dilupakan, para sukarelawan serta NGO yang tidak didendangkan.

18.    Semuanya secara hakikatnya, telah memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan begitu baik sekali. Seperti kata bidalan lama, telah terperciklah peluh jantan di dahi, mengalirlah keringat bangsa Malaysia yang bersatu.

19.    Inilah satu perkara yang dapat kita bangga-banggakan dan hendaknya semangat sedemikian akan terus kekal kita semarakkan untuk Malaysia tercinta.

Ampun Tuanku,

20.    Merujuk aspek ekonomi, begitulah juga keadaannya, di mana Kerajaan Tuanku, tidak membuang masa dengan hal-hal yang remeh lagi merugikan.

21.    Malah pentadbiran Kerajaan kini, sejak 8 tahun yang lalu, dengan penuh yakin dan percaya melalui Dasar Transformasi Nasional, tanpa berlengah-lengah berfokus sepenuhnya mungkin bagi terus memperkukuh daya tahan ekonomi di celah-celah kemelut ekonomi global.

22.    Syukur Alhamdulillah, segala usaha gigih Kerajaan Tuanku bukan sekadar kata orang dapat melihat cahaya di hujung jalan, akan tetapi, tidak keterlaluan, untuk patik sembahkan pada hari keputeraan Tuanku ini, kerdipan Kejayaan sudah terang makin bersuluh, apabila baru-baru ini, KDNK suku kedua 2017 mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada kadar 5.8 peratus, yakni antara yang tertinggi di dunia.

23.    Malahan majalah Forbes, telah meletakkan Malaysia pada kedudukan paling atas di antara semua negara Asia untuk pelaburan asing dan mutakhir ini Price Waterhouse Coopers meramalkan ekonomi Malaysia mencapai kedudukan 24 terbesar di dunia menjelang 2050.

24.    Manakala, Fitch Ratings terus mengekalkan penarafan kredit Malaysia dengan unjuran stabil pada skor A-.

25.    Seterusnya, kedudukan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia kini bertambah kepada 431.7 bilion ringgit, yakni jumlah rizab yang semakin mantap dan Ringgit Malaysia menunjukkan trend yang semakin kukuh.

26.    Misal yang lain, paling terkini, Majalah International Living telah memilih Malaysia sebagai destinasi persaraan terbaik di dunia bagi tahun 2017, khususnya dari aspek kualiti kehidupan dan kesihatan.

Ampun Tuanku,

27.    Pada sudut lain, dari segi syiar Islam dan kerohaniannya, Malaysia akan terus mengimbangkan antara kejayaan fizikal dan duniawi seiring dengan matlamat ukhrawi. Kata orang dunia kita kelek, akhirat pun kita junjung.

28.    Buktinya, sejak sekian lama, sama ada sedar atau tidak, bapa-bapa pendahulu telah secara tersurat dan tersirat merangkakan negara bertuah ini, dengan Manhaj Maqasid Syariah, berpendekatan pula Prinsip Wasatiyyah atau Kesederhanaan.

29.    Diperkukuhkan lagi dengan prinsip tunjang kepada pentadbiran negara, yakni Falsafah 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang telah patik perkenalkan dalam ucapan rasmi sulung selaku Perdana Menteri pada 3 April 2009.

30.    Atas segalanya, segala puji bagi Allah, yang telah mengizinkan setiap perancangan, dasar dan inisiatif Kerajaan Tuanku, dapat dijayakan satu persatu, walaupun secara adatnya, adalah serba sedikit kekurangan di sana sini.

31.    Pucuk pangkalnya, kesemuanya ini dilakukan oleh Kerajaan Tuanku dengan nawaitu yang jelas, didokong oleh masyarakat, demi Memakmurkan Negara, Mensejahterakan Rakyat.

Ampun Tuanku,

32.    Di sisi keprihatinan Malaysia terhadap isu humanitarian atau kemanusiaan, Malaysia akan terus berperanan aktif dalam menangani dan membantu golongan etnik minoriti Rohingya dan akan membawa isu ini hingga ke peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan OIC, agar kezaliman yang tidak berperikemanusiaan ini dapat dihentikan segera. Sebagai tanda keprihatinan kita, pada petang ini patik akan melepaskan acara rasmi pasukan ATM untuk memberi bantuan kemanusiaan bagi orang-orang  pelarian Rohingya.

Ampun Tuanku,

33.    Merujuk kepada hal ehwal pembangunan dan kemajuan negara yang mutakhir, Kerajaan Tuanku akan terus mengutamakan Projek-Projek Infra-Rakyat seperti MRT yang bertaraf dunia dan telah berjaya disiapkan serta bakal membawa manfaat kepada 500 ribu pengguna setiap hari.

34.    Begitu juga dengan beberapa projek prasarana rakyat yang lain, seperti projek-projek East Coast Rail Link, Lebuhraya Pan-Borneo serta High Speed Rail yang kini sedang rancak dan bakal dibina tidak lama lagi.

35.    Pastinya jua, apa-apa isu berkait kos sara hidup rakyat, akan menjadi keutamaan kepada Kerajaan Tuanku, agar rakyat teramai tidak terbeban dengan arus kepesatan pembangunan negara yang sedang berpecut laju.

Ampun Tuanku,

36.    Sebetulnya, Malaysia sekarang sudah berjaya diletakkan pada landasan yang tepat dan benar menuju TN50. Ertinya, kita tidak boleh lagi kekal di takuk lama atau resting on the laurels of the past.

37.    Menjengah masa depan negara, Kerajaan Tuanku dalam ikhtiar menjayakan Dasar Digital Malaysia, demi mempersiapkan negara untuk melangkah gagah dan bijak menuju ke era Fourth Industrial Revolution.

38.    Pokoknya, kita tidak mempunyai pilihan, melainkan mesti berani dan terus berani meyakinkan diri bahawa, kita sebenarnya mampu untuk melonjak lebih jauh daripada yang biasa-biasa.

39.    Justeru itulah, Kerajaan Tuanku akan terus berusaha menggembleng sebanyak mungkin lagi inisiatif dalam semua aspek, supaya Malaysia terus terkehadapan mencipta lebih banyak kejayaan demi kejayaan.

40.    Maknanya, pencapaian kita mulai kini seharusnya mampu melangkaui batas-batas pencapaian yang sudah lazim, atau “we must always raise the bar high and continue to keep the bar high for Malaysia”.

41.    Barulah Malaysia kelak, bukan setakat dikenali sebagai role model sebuah negara Islam, akan tetapi, secara duniawinya, bakal menjadi rujukan kawan dan lawan sebagai sebuah negara dinamik, berjaya dan bersifat High Income Advanced Economy yang disegani.

Ampun Tuanku,

42.    Khulasahnya, sekali lagi patik mewakili pihak pentadbiran dan sekalian rakyat, berasa begitu bertuah serta bangga dinaungi oleh Tuanku, seorang Raja yang muda lagi bersemangat.

43.    Patik mewakili rakyat sekalian, mendoakan agar Tuanku terus bersemayam di atas singgahsana Kerajaan dalam keadaan sihat, sentosa dan penuh kemuliaan.

44.    Seiring itu, sebagai pesan bekalan buat diri patik dan seluruh rakyat Malaysia pula, beringat-ingatlah, jangan sesekali apa yang telah dibina, sesiapa pun melalui jalan yang kotor dan agenda peribadi yang sempit, sanggup mempertaruhkan kedaulatan satu-satunya negara kita.

45.    Malaysialah Negara kita, Malaysialah Tanah Tumpahnya Darah kita, Biar Putih Tulang, Jangan Sampai Putih Mata. Dirafak-rafak doa, semoga Allah terus memberi pertolongan dan rahmatNya, ke atas tanah pusaka bertuah ini sehingga akhir waktu. Amin Allahumma Amin!

Ampun Tuanku,

Sekianlah sahaja ucapan sembah tahniah patik kepada Tuanku.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles, Official Addresses