15 Disember, 2016

Usahawan Berjaya SME Kaum India


Petang tadi selepas melancarkan MRT di Damansara, saya terus menuju ke Klang untuk melakukan lawatan dan bertemu dengan usahawan-usahawan kecil dan sederhana kaum India dari pelbagai latar belakang, masing-masing dengan kisah kejayaan mengagumkan hasil usaha dan inisiatif Kerajaan melalui Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India atau SEED di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Lawatan saya bermula dengan meninjau kilang pembuatan kabel Lotus Cable Industries Sdn Bhd. Kilangnya moden dan bersih, saya sempat berbual dengan beberapa pekerja di sini yang rata-ratanya rakyat tempatan.

SEED - Pic 1

Pengusaha kilang ini Manivanan salah seorang penerima dana bantuan daripada Bank SME di bawah program BAP atau Business Accelerator Programme, dan suka saya lihat hari ini hasil bantuan tersebut membantu kilang ini mengembangkan perniagaan dan memenuhi permintaan pelanggan selain menyediakan peluang pekerjaan buat ramai.

Saya juga tertarik untuk berkongsi kisah saudari Premalatha, peniaga dan pembekal ikan yang dahulunya pekerja kilang sebelum mengorak langkah mula meniaga di pasar malam dan sebagainya. Selepas latihan dan bantuan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia, beliau kini seorang usahawan yang mampu memiliki rumah sendiri, dua buah kereta, motor dan mampu menghantar anaknya belajar di universiti.

SEED - Pic 2

Banyak lagi kisah-kisah kejayaan yang dikongsikan mereka di sini, antaranya Jagabar Ali pengusaha restoran, A. Paramesvaran pengusaha perkhidmatan penghawa dingin, Pravin pengusaha hotel, Srithren usahawan gula-gula yang kini juga pemilik francais Marrybrown, Kamani peniaga kacang puteh, Rajasegaran pembekal barangan perubatan, dan Patmanathan pengusaha perniagaan runcit. Semuanya berbeza namun menarik dan mengagumkan saya.

Satu persamaan daripada kisah-kisah kejayaan mereka ini adalah kesemua mereka menceritakan kepada saya bagaimana mereka mendapat manfaat daripada usaha dan inisiatif SEED, melalui pelbagai program yang mereka sediakan dengan cas penyertaan cuma RM1.

Lebih daripada itu, SEED juga memainkan peranan sebagai pengantara, menunjukkan jalan dan memperkenalkan usahawan-usahawan ini dengan program dan bantuan yang ditawarkan oleh pelbagai agensi Kerajaan seperti Bank SME, Amanah Ikhtiar Malaysia, MIDF dan banyak lagi. Malah ada juga yang mampu menembusi pasaran lebih besar dengan memperolehi sijil Halal JAKIM.

Alhamdulillah, saya gembira melihat usaha Kerajaan untuk membantu masyarakat kaum India ini telah berjaya menghasilkan ramai usahawan berjaya. Dan kejayaan-kejayaan ini bukan sekadar angka dalam carta di atas kertas. Sebaliknya, hari ini saya berjumpa dan mendengar sendiri kisah-kisah kejayaan mereka.

Saya nyatakan kepada semua usahawan-usahawan yang hadir tadi, teruskan dan kekalkan kejayaan ini. Mereka bukti dan contoh teladan terbaik bahawa kejayaan mampu datang kepada mereka yang berusaha, dan Kerajaan sentiasa bersedia beri bantuan kepada mereka yang memerlukan.

SEED - Pic 3

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles