18 Mac, 2016

Wanita: Pemangkin Pembangunan Negara


Malam tadi saya bertemu rakan-rakan online saya untuk makan malam di Restoran Modern Asian Diner di Setapak. Dahulu saya sering lalu di kawasan ini untuk ke Lebuhraya Karak sekiranya ingin pulang ke Pahang. Jelas ternyata, kini, dah banyak pembangunan.

Antara yang hadir bersama adalah Profesor Dr. Muhaya Mohamad, pakar bedah mata; Fuzana Mokhtaza, seorang pereka muda dengan butik yang sedang meningkat naik; Farah Ann Abdul Hadi, ahli gimnastik negara dan pemenang pingat emas Sukan SEA yang bakal mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Rio; Kamal Affandi Abdul Hashim, penganalisa pencegahan jenayah di Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia; Low Ngai Yuen, Pengasas Organisasi Bukan Kerajaan Women:Girls dan presiden KakiSeni; dan Amreeta Kaur Dhillon, exco pembangunan wanita dan pemuda Sikh Naujawan Sabha Malaysia. Kesemua mereka personaliti terkenal dan berjaya dalam bidang masing-masing.

wanitappn1

Topik utama perbualan kami menyentuh peranan wanita dalam agenda pembangunan negara, dari segi pembabitan dalam tenaga kerja sama ada sektor swasta mahupun awam, pendidikan, serta keseimbangan pekerjaan dan keluarga. Banyak perkara yang telah diketengahkan sepanjang hampir dua jam kami berbual.

Beberapa cadangan bernas telah dikemukakan. Sebagai contoh, Amreeta dan Farah Ann membincangkan pemberian peluang sama rata kepada lelaki untuk membesarkan anak dan keluarga sepertimana wanita; contohnya seperti pewujudan dari segi cuti bersalin atau “paternity leave”.

wanitappn2

Selain itu, Ngai Yuen mengenengahkan perihal peranan wanita dalam agama, dan adakah diskriminasi timbul akibat dari salah faham mengenainya. Prof Dr Muhaya berpendapat bahawa pendekatan kesederhanaan yang diambil Kerajaan sebagai contoh, adalah pendekatan yang baik. Saya bersependapat dengan Prof Dr Muhaya, dan inilah konsep yang kerajaan sering tekankan, iaitu kesederhanaan atau lebih tepat lagi, Wasatiyyah.

Di Malaysia, kita bertuah mempunyai pelbagai bangsa dan agama di bawah satu bumbung. Tetapi pada masa sama, ini juga mendatangkan cabaran dan memerlukan penerimaan dan pemahaman yang mendalam daripada semua pihak. Insya-Allah, sekiranya kita semua mengamalkan kesederhanaan dan belajar untuk memahami satu sama lain, Malaysia akan terus kekal harmoni.

wanitappn3

Fuzana membangkitkan topik berkenaan peluang perniagaan untuk wanita, dan mencadangkan lebih banyak bantuan dan dana khusus disediakan untuk membantu golongan wanita profesional dalam bidang perniagaan.

Kerajaan mempunyai pelbagai inisiatif bagi membantu bukan sahaja wanita, malah semua golongan yang mempunyai idea dan inisiatif untuk berjaya dalam bidang perniagaan melalui skim mikro-kredit, Tabung Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN, SME Corp dan banyak lagi.

Walaupun begitu, saya ambil maklum masih terdapat jurang bantuan dari segi sokongan untuk golongan wanita yang baru mula berniaga, terutamanya yang menjalankan perniagaan secara atas talian. Insya-Allah, dari semasa ke semasa, kita akan lihat dan mencari cara bagaimana untuk merapatkan jurang tersebut.

wanitappn4

Kamal Affandi pula bertanya mengenai perancangan dan hasrat kerajaan bagi memartabatkan wanita dalam beberapa tahun akan datang. Alhamdulillah, kita sebenarnya telah mencapai banyak kemajuan dari segi penglibatan wanita dalam bidang pendidikan, penglibatan dalam sektor pekerjaan dan pelbagai lagi. Saya huraikan perkara ini malam semalam.

Walau bagaimanapun, kerajaan akan terus berusaha untuk memartabatkan wanita dalam semua bidang, dan memastikan semua pihak mempunyai ruang dan peluang yang sama rata tidak kira jantina, bangsa mahupun agama.

wanitappn5

Sebelum pulang, Ngai Yuen sempat menunjukkan kepada saya dan semua yang hadir mengenai aplikasi Snapchat dan fungsi animasi mimik wajah yang melucukan di telefon bimbitnya. Selain itu, ada juga yang mencadangkan kepada saya untuk menonton cerita Munafik yang sedang ditayangkan kini. I enjoyed the session. We all had a good laugh too.
wanitappn6

Saya gembira dapat berbual dengan rakan-rakan online yang telah mengutarakan pelbagai cadangan dan pendapat yang bernas dan kritikal. Pendekatan bersama rakyat seperti ini membolehkan saya terus memahami pelbagai kemahuan rakyat dengan lebih mendalam.

Terima kasih kepada semua yang hadir, saya berharap kita berjumpa lagi dan interaksi seperti ini juga lebih kerap berlaku.

wanitappn7

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles, MBMB2016