30 April, 2016

Warga Pekerja Nadi Pembangunan Negara


Sejak tahun 1973 lagi, Kerajaan telah mengiktiraf Hari Pekerja sebagai Hari Kelepasan Am, iaitu cuti umum sebagai tanda penghargaan atas kegigihan dan sumbangan warga pekerja di Malaysia.

Sesungguhnya warga pekerja adalah nadi kepada pembangunan dan kejayaan sesebuah negara. Selain menghargai para pekerja dengan cuti umum dan sambutan tahunan, kerajaan juga sentiasa memastikan kebajikan para pekerja terpelihara.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 yang lalu, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam menjaga dan membela kebajikan pekerja, antaranya:

(i) pelaksanaan dasar gaji minimum kebangsaan bermula pada tahun 2013 yang telah memanfaatkan kira-kira 1.9 juta pekerja sektor swasta di negara ini

(ii) pelaksanaan dasar umur persaraan minimum 60 tahun bagi pekerja sektor swasta

(iii) cadangan perluasan liputan perlindungan keselamatan sosial pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji.

Siling caruman pekerja yang diinsuranskan juga ditingkatkan daripada RM3,000 kepada RM4,000 bagi maksud caruman dan pembayaran faedah.

Langkah ini memanfaatkan kira-kira 500 ribu orang pekerja dan menjadikan liputan keseluruhan PERKESO seramai 6.5 juta pekerja.

Dalam tempoh masa yang sama juga, dengan perancangan yang komprehensif, kerajaan juga telah berjaya mengekalkan kadar pengangguran di bawah paras 4 peratus, selain mewujudkan 1.8 juta pekerjaan baru dan meningkatkan kadar penyertaan tenaga wanita kepada 53.9 peratus pada tahun 2015 berbanding 46.8 peratus pada tahun 2010.

Namun, Malaysia perlu mengubah pendekatan dan mentransformasi tenaga pekerja kita agar memenuhi keperluan dan memastikan Malaysia kekal pada landasan yang tepat serta berdaya tahan.

Oleh sebab itulah, di bawah Rancangan Malaysia ke-11 pula, kerajaan mensasarkan untuk meningkatkan produktiviti kedua-dua sektor buruh dan juga berkemahiran tinggi, sesuai dengan tema sambutan tahun ini iaitu “Pekerja Berkemahiran Penggerak Ekonomi”.

Kerajaan akan terus menyediakan kemudahan kepada pekerja sama ada melalui program peningkatan tahap kemahiran (upskilling), latihan semula kemahiran (reskilling) atau latihan kemahiran baharu bagi menyokong kemahiran sedia ada (multiskilling).

Kerajaan juga akan memberi penekanan terhadap pendidikan TVET bagi memenuhi keperluan 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan baharu yang memerlukan kelayakan TVET menjelang tahun 2020.

Fokus dan inisiatif seperti ini, Insya-Allah akan membawa kepada peningkatan pendapatan tenaga kerja dan kekalkan pengangguran di paras yang rendah.

Kerajaan sedia ada akan terus kekal mendahulukan rakyat serta menjaga kebajikan warga pekerja Malaysia.

Kepada semua warga pekerja Malaysia, saya ucapkan Selamat Hari Pekerja!