WIEF: Pelancaran Zilzar.com

Photo Bernama

Industri halal bukan sahaja sesuatu yang dapat mengeratkan lagi hubungan antara umat Islam di seluruh dunia, ianya juga mewakili sebahagian daripada identiti seorang Muslim. Di Malaysia misalannya, barangan serta perkhidmatan halal mudah didapati di mana-mana, dan boleh diguna oleh semua tidak mengira agama. Malahan, kepelbagaian yang wujud di negara kita menjadikan Malaysia menonjol di pasaran halal dunia.

Pada hari kedua Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-10 di Dubai, saya telah melancarkan Zilzar.com, platform e-dagang pertama di dunia seumpamanya untuk pedagang halal sedunia berurus niaga secara atas talian dengan lebih efisien. Perkhidmatan platform Zilzar.com adalah percuma, dan bakal menghubungkan berjuta-juta pengguna. Pada masa yang sama, ia turut menawarkan para peniaga secebis daripada industri pasaran gaya hidup Muslim yang bernilai RM 8.2 trilion.

Dengan jumlah 1.8 bilion Muslim di 150 buah negara serata dunia, pasaran Islam adalah jauh lebih besar daripada negara Cina dan berkembang pesat melangkaui gabungan Amazon dan e-Bay. Justeru, dengan wujudnya platform sebegini, saya yakin perdagangan dan pekerjaan baru dapat diwujudkan, dan turut membawa kewangan Islam ke ceruk pasaran yang belum pernah diterokai sebelum ini. Selaras dengan tema WIEF kali ini iaitu “Perkongsian Inovatif Untuk Pertumbuhan Ekonomi,” Zilzar.com adalah contoh baik bagaimana kerjasama perkongsian ini mampu memanfaatkan industri halal dan kewangan Islam secara keseluruhannya.

-Foto BERNAMA

Photo Bernama