26 April, 2016

BB1M Dari Perspektif Pelajar Universiti


f005b5f1-c07f-424f-992f-b752e9125f61 (1)

Pelajar Universiti Malaysia Sarawak, Rachel Ruran Leong kini berada dalam tahun akhir program 4 tahun dan telah menjadi penerima BB1M selama tiga tahun sejak memulakan pengajiannya. Rachel percaya bahawa beliau seorang daripada segelintir pelajar yang menggunakan sumbangan tersebut untuk tujuannya yang sebenar, iaitu membeli buku teks, meskipun pernah mendengar pelajar lain menggunakan wang itu untuk membeli alat tulis, cakera keras dan kasut, terutamanya pada tahun-tahun terawal skim ini diperkenalkan.

“Saya individu yang agak ketinggalan zaman. Saya suka menggunakan buku fizikal dan universiti saya kebanyakannya menggunakan buku teks antarabangsa terbitan Pearson, Cambridge dan seumpamanya, yang harganya agak mahal. BB1M membantu mengurangkan sedikit beban kewangan saya sebagai pelajar, kerana saya lebih gemar membeli buku teks asal yang baharu, dan setiap buku teks berharga antara RM200-RM300,” terang Rachel.

Daniel Darnas, yang menerima pinjaman untuk membiayai yuran pengajian dan elaun di Swinburne University of Technology Sarawak memberitahu bahawa BB1M membantu menjadi penampan kepada wang simpanannya. “Dengan menggunakan BB1M untuk membeli buku teks dan alat tulis misalnya, saya dapat membeli barang untuk keperluan kursus lain yang tidak dapat saya beli sekiranya tiada sumbangan ini.”

Rachel dan Daniel bersetuju bahawa amaun baucar BB1M tidak harus dinaikkan. Rachel berpendapat bahawa membantu semua pelajar membeli buku serba baharu sepanjang tahun bukanlah penggunaan dana yang paling berkesan. Daniel sebaliknya berpendapat bahawa inisiatif ini sepatutnya menjadi bantuan tambahan, dan bukan bantuan kewangan sepenuhnya.

“Meskipun saya berpendapat jumlah sumbangan harus diagihkan untuk dua semester dalam setahun, misalnya RM125 bagi setiap setengah tahun. Memandangkan baucar ini hanya sah selama tiga bulan, pelajar terpaksa menghabiskan semua RM250 dalam satu semester. Ini menggalakkan penyalahgunaan dan perbelanjaan tidak berhemat dalam kalangan pelajar,” tambahnya.

Walau bagaimanapun, Rachel sangat berterima kasih dengan pemberian BB1M. “Permulaan yang sangat baik, dan saya gembira dengan inisiatif BB1M yang sedia ada,” jelasnya. Beliau turut berasa gembira dengan satu lagi inisiatif NKRA Menangani Kos Sara Hidup iaitu KR1M. “Ketika di kampus, saya mendapati jenama tertentu lebih murah sedikit di KR1M, tetapi apabila pulang ke kampung, dengan adanya KR1M, kami tidak perlu lagi pergi jauh ke bandar untuk membeli keperluan harian kami.”

Sementara itu, Daniel berpendapat inisiatif sedia ada sangat membantu. Daniel percaya bahawa Kerajaan harus menyampaikan maklumat tentang inisiatif ini dengan lebih meluas agar lebih ramai rakyat dapat menerima manfaat daripada inisiatif yang dilaksanakan ini.

Sumber Asal: Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan 2015

Shares Share Kategori : Success Stories