28 April, 2015

Hole-In-One Industri Golf Malaysia


Capture

“Malaysia sudah lama dianggap sebagai syurga permainan golf di Asia, dan kami di Persatuan Pelancongan Golf Malaysia (MGTA) berasa bangga dapat memainkan peranan dalam mempertingkatkan pembangunan industri golf di sini dan mempromosikan negara sebagai destinasi golf yang terkemuka, sekali gus memberikan sumbangan kepada usaha di bawah NKEA Pelancongan.

Di bawah ETP, MGTA telah diberi tanggungjawab untuk menyelaraskan usaha yang dibuat oleh pihak berkepentingan berkaitan yang terdiri daripada pemilik padang golf, resort golf dan media golf, antara lainnya untuk mempromosikan dan menempatkan Malasyia sebagai destinasi golf yang mempunyai kepelbagaian kepada pelancong golf antarabangsa.

Kami sedar sejak dari awal lagi bahawa usaha bersepadu diperlukan untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi golf dan pada masa yang sama, menjana persekitaran yang mengujakan tentang pengalaman bermain golf di Malaysia. Secara realistik, tidak ada mana-mana kelab golf secara bersendirian dapat mencetuskan kempen pemasaran yang sedemikian meluas.

Selain mempromosikan dan memasarkan pelancongan golf kepada pelancong global, tanggungjawab MGTA juga merangkumi pengauditan ahli kelab golf dan padang golf untuk menentukan sama ada mereka bersedia untuk eksport, ataupun dianggap sebagai mempunyai kemudahan yang mencukupi dan akses bagi pelancong golf antarabangsa.

Sesungguhnya kita berasa amat gembira apabila usaha kita menerima pengiktirafan daripada World Golf Awards 2014, yang menamai Malaysia sebagai Destinasi Golf Terbaik Asia. Anugerah ini akan memberikan peluang yang lebih banyak bagi pelancongan golf di Malaysia. Kami yakin bahawa segmen ini mempunyai potensi untuk menjadi penjana pendapatan utama bagi industri pelancongan.

Pada tahun 2014, perolehan pelancongan daripada aktiviti golf secara langsung mencecah RM310 juta, meningkat daripada sekadar RM300 juta pada tahun 2013. Jumlah dan angka yang dikemukakan oleh Pelancongan Malaysia adalah menggalakkan memandangkan bahagian pelancongan golf telah meningkat dalam tempoh empat tahun yang lepas. Sekiranya kita mengambil kira perkhidmatan kecil-kecilan, saya yakin bahawa peranan sektor golf sebagai penjana pendapatan utama bagi pelancongan Malaysia adalah sangat berkesan.

Penghargaan daripada World Golf Awards juga hadir pada ketika prospek yang semakin bertambah baik bagi golf di rantau Asia dengan penambahan tiga acara kejohanan yang dijadulkan bagi tahun 2015 di Asia – Malaysia, Thailand dan India oleh European Tour. Malaysia, dengan lebih 200 padang golfnya yang terdiri daripada padang golf ladang besar kepada laluan layar di pusat utama hutan hujan, dan padang golf bersaiz kejohanan, hanya akan meraih lebih banyak manfaat daripada perkembangan ini.

Kita telahpun menempatkan kedudukan kita sebagai tuan rumah yang luar biasa menerusi acara golf utama yang diadakan setiap tahun di dalam negara, iaitu Maybank Malaysia Open, CIMB Classic, Sime Darby LPGA dan Iskandar Johor Open. Kita tidak mungkin berada pada kedudukan yang kita raih pada hari ini tanpa bimbingan daripada Pelancongan Malaysia dan juga sokongan daripada industri tempatan. Langkah seterusnya, kami akan bekerjasama erat dengan Pelancongan Malaysia untuk mengelompokkan pakej lawatan golf sekitar acara golf dan festival utama bagi tahun yang akan datang.”

Sumber Asal : Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan 2014

Shares Share Kategori : Success Stories