26 April, 2016

Jurutera Kembali Ke Tanah Air Untuk Member Sokongan Kepada Transformasi Negara


unnamed (1)

Selepas lebih 10 tahun mendiami dan bekerja sebagai seorang jurutera di Auckland, Doreen Ho, seorang anak kelahiran Kuala Lumpur, mengambil keputusan untuk kembali ke rantau Asia di mana arus pembangunan infrastruktur semakin rancak berkembang.

“Saya mula mengetahui tentang peluang pekerjaan di Kuala Lumpur melalui seorang kawan dan saya pun membuat permohonan untuk pekerjaan itu. Selepas temuduga di telefon, saya ditawarkan jawatan di sebuah firma perunding antarabangsa, dan kemudian saya mendapat tahu bahawa firma itu terlibat dalam Projek Sungai Nadi Kehidupan,” jelas Doreen. Beliau mula berkhidmat dengan firma AECOM, sebuah syarikat Amerika Syarikat, sebagai Jurutera Kanan pada tahun 2012.

AECOM merupakan sebuah firma perunding yang telah diamanahkan untuk menerajui Projek Pengindahan Sungai dan mentransformasikan Sungai Klang dan Sungai Gombak sepanjang 10.7 km dengan nilai projek berjumlah RM1 bilion.

“Saya menjadi lebih teruja apabila mengetahui projek Sungai Nadi Kehidupan adalah sebahagian daripada NKEA Greater Kuala Lumpur. NKEA tersebut dilaksanakan bertujuan mentranformasi Sungai Klang supaya memiliki kawasan tebing sungai yang menarik dan berdaya huni tinggi dari segi nilai ekonomi. Lantas membantu meningkatkan taraf Kuala Lumpur sebagai salah satu daripada kota raya dunia yang berdaya huni tinggi, seperti Melbourne dan Singapura, menjelang tahun 2020.”

“Pada mulanya projek ini mendapat sangkaan buruk dan kritikan negatif; sesetengah pihak menganggap idea menukarkan sebuah longkang monsun yang besar kepada sesuatu yang cantik memang tidak masuk akal!”

Walau bagaimanapun, menurut Doreen, semakin projek ini berkembang, semakin ramai yang mulai yakin dan dapat melihat potensi dan manfaatnya, iaitu bukan mustahil untuk mentransformasi sebatang sungai yang lama terbiar dan dilupai menjadi tempat berguna yang wajar dibanggai.

 

dorren hoPernah berkhidmat dengan dua firma perunding antarabangsa di Auckland, dan kembali ke tanah air di bawah Returning Expert Programme oleh TalentCorp, beliau mendapati perubahan daripada dunia pekerjaan di New Zealand kepada budaya pekerjaan di Malaysia lebih sukar daripada yang dijangkakan.

“Boleh dikatakan enam bulan pertama adalah sangat sukar dan mencabar—saya terpaksa menyesuaikan diri dengan budaya kerja dan gaya hidup baru yang amat berbeza. Tambahan lagi saya terlibat dalam projek besar dengan tarikh penyerahan yang sangat singkat!”

“Memang saya dilahirkan di sini tetapi sudah bertahun-tahun saya di luar negara dan dengan banyak perubahan besar yang telah berlaku di Kuala Lumpur hari ini, saya tidak lagi mengenali kota raya ini. Maka, proses perubahan tempat dan pekerjaan adalah agak sukar bagi saya. Namun, saya lega kerana mendapat sokongan kawankawan dan rakan sekerja yang melalui pengalaman sama sekembalinya mereka ke tanah air. Nasihat saya kepada semua rakyat Malaysia yang kembali ke tanah air–mereka mesti mempunyai jangkaan yang munasabah dan realistik tentang cara hidup dan budaya kerja di sini, sebelum kembali.”

Doreen salah seorang anggota dalam pasukan perintis dalam Projek Sungai Nadi Kehidupan yang dijalankan oleh AECOM. Beliau terlibat dalam kerja-kerja mengindahkan sungai di Presint 7, yang pertama daripada sebelas Presint dalam projek Sungai Nadi Kehidupan yang bermatlamat menghidupkan semula serta mengindahkan Kawasan Warisan Kuala Lumpur, dan pada masa yang sama mengekalkan nilai warisan sejarah dan budaya setempat. “Sememangnya projek ini amat mencabar kerana kami perlu mentransformasikan satu kawasan paling lama di kota raya KL. Kami terpaksa berhadapan dengan pelbagai pihak berkepentingan dan pemilik tanah perseorangan serta pembekal prasarana dari segi mengurus dan menyelia sistem saliran dan prasarana bawah tanah yang sudah usang dan sukar diketahui. Tambahan lagi, KPI projek juga merangkumi peningkatan tahap sedia ada ke tahap lebih tinggi dari aspek mutu rekabentuk yang bernilai tinggi dan spesifikasi dalam industri yang baru bermula untuk mencapai tahap antarabangsa.”

Selepas tiga setengah tahun berkhidmat dengan AECOM, Doreen menerima satu cabaran baharu dengan menerima tawaran kerja daripada MRT Corp (Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd), menyandang jawatan sebagai Pengurus Perancangan dan Reka bentuk (Sivil dan Struktural) bagi pasukan pekerja bawah tanah Laluan 2. “Sebagaimana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kami telah mengumumkan dalam akhbar NST pada 23 Februari 2016, pembangunan MRT adalah projek infrastruktur terbesar negara dan pakej kerja terbesar adalah untuk kerja-kerja bawah tanah bagi Laluan 2. Kemegahan dan keterujaan dalam menyiapkan projek MRT dengan matlamat dapat mengurangkan kesesakan trafik di kota raya KL menjadi pendorong besar kepada pasukan kami untuk terus gigih bekerja demi pencapaian EPP projek ini.”

Doreen sangat berbangga kerana memberi sokongan kepada proses tranformasi nasional dengan bakat dan tenaga yang ada. Beliau sama sekali tidak menyesal kembali ke Malaysia kerana mendapat peluang untuk melibatkan diri di dalam projek berskala besar yang memberi kesan yang besar kepada rakyat dan negara.

Sumber Asal: Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan 2015

Shares Share Kategori : Success Stories