26 April, 2016

Ke Arah Menjana Hasil Yang Lebih Lumayan


553b4044-7640-4b90-b542-ccf997d5e452
Lia Ah Kau 39, mungkin terpaksa menabung lebih dari dua tahun sebelum pokok sawitnya yang berusia 40 tahun boleh diganti dengan pokok baharu jika tidak kerana bantuan kerajaan, yang memperuntukkan benih berpenghasilan tinggi dan bantuan kewangan untuk penebangan pokok sawit tua dan menanam semula pokok sawit.

Bantuan ini adalah sebahagian daripada skim Kerajaan di bawah EPP1 yang menggalakkan penggantian pokok sawit tua yang berusia 25 tahun ke atas dengan pokok berpenghasilan tinggi oleh peladang dan pekebun-pekebun kecil untuk memastikan bekalan yang mampan bagi komoditi ini kepada operator sawit hiliran di dalam negeri dan di luar kawasan serantau.

Setahun telah pun berlalu sejak penanaman semula dibuat dan dia harus menunggu setahun lagi sebelum boleh menikmati hasil 30 peratus lebih tinggi berbanding sebelum ini.

“Ia mungkin memakan masa yang lebih lama untuk menanam semula tanpa bantuan ini, dan kos kepada kami mungkin mencecah lebih RM7,500 bagi setiap hektar yang merangkumi anak benih, baja, racun perosak, sewa traktor dan upah buruh,” tegas Lia yang memiliki seluas 20 hektar ladang kelapa sawit.

Katanya, hasil pokok sawit tua lebih rendah dan kerana pokok-pokok ini lebih tinggi berbanding pokok sawit muda, menuai menjadi masalah. “Kami memerlukan penuai yang berkemahiran dan tidak ramai penuai seperti ini boleh ditemui sekarang.”

Beliau juga menyatakan bahawa bantuan kerajaan telah membolehkan dia menggunakan jentera untuk menebang pokok dan membersihkan kawasan dan seterusnya menanam semula. Ia mengambil masa hanya sebulan untuk dua ladang seluas 10 hektar setiap satu. Tanpa menggunakan jentera, kerja-kerja yang intensif buruh ini mungkin akan mengambil masa setahun sebelum ia boleh disiapkan.

Di kalangan adik beradiknya, hanya Lia yang sanggup mengusahakan ladang bapa mereka. “Memang banyak cabaran yang perlu diharungi dan adik beradik saya lebih selesa bekerja di bandar.”

Disebabkan oleh permintaan yang tinggi untuk minyak sawit, pekerjaan ini mendatangkan pendapatan yang agak lumayan, kata Lia. Bagaimanapun, dia bimbang dengan kesanggupan anakanaknya untuk mengusahakan ladang ini. “Walaupun dengan bantuan dan galakan kerajaan, ia bukanlah pekerjaan yang menjadi pilihan anak-anak muda.”

Menurutnya, cabaran paling besar yang dihadapi oleh pemilik ladang, baik yang kecil mahupun yang besar, ialah mendapatkan pekerja yang berkemahiran, terutamanya penuai buah sawit. “Menuai ialah kerja yang memerlukan kemahiran tinggi. Kamu mesti pandai menuai tanpa merosakkan buah sawit. Tenaga buruh muda tempatan tidak berminat mempelajari kemahiran ini kerana mereka lebih suka berhijrah ke bandar besar untuk mencari pekerjaan lain.”

“Orang banyak menyangka bekerja di ladang kelapa sawit ini susah; tidak susah sebenarnya kerana saya selalunya bekerja selama setengah hari sahaja dengan pulangan yang boleh tahan juga. Orang muda memang sukakan bandar besar kerana lebih banyak hiburan di sana. Waktu malam di Termeloh memang sunyi tanpa daya tarikan yang menarik.”

Sumber Asal: Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan 2015

Shares Share Kategori : Success Stories