26 April, 2016

Mewujudkan Pendidkan Bertaraf Dunia Yang Berprestasi Tinggi


abdul wahab

Usaha NKRA Pendidikan untuk menggalakkan sekolah yang mempunyai kualiti antarabangsa telah membuahkan hasil. Pada tahun 2012, SABK Imtiaz Yayasan Terengganu Besut (Imtiaz) tergolong dalam Kohort 2 bagi inisiatif Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Sejak itu, sekolah agama yang bertempat di Terengganu ini telah menjadi antara sekolah terbaik di negeri tersebut, malah di negara kita.

Imtiaz, yang merupakan cetusan idea Dato’ Sri Idris Jusoh (kini Menteri Pendidikan Tinggi), bermula sebagai institusi yang dibiayai oleh pihak swasta, dengan pengambilan pada awalnya sebanyak tujuh orang pelajar pada tahun 1999. Pada masa ini, Imtiaz mempunyai lebih 2,000 pelajar merentas 7 kampus di seluruh Terengganu. Imtiaz berasal daripada kalimah Arab yang bermaksud ‘kecemerlangan’, justeru menerangkan visinya untuk menjadi sekolah berciri Islam yang terbaik dalam kelasnya.

Menurut pengetuanya, Haji Abdul Wahab bin Mohd. Arshad, Imtiaz telah meraih kejayaan cemerlang dalam banyak pertandingan antarabangsa, termasuk menjadi pemenang pingat emas dan perak di Pameran Reka Cipta dan Reka Bentuk Antarabangsa Kaohsiung 2015. Imtiaz turut bekerjasama dengan Universiti Cambridge sejak tahun 2013, membolehkan pelajarnya menduduki peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE). Bagi kedua-dua pentaksiran Tingkatan 3 PT3 dan SPM, Imtiaz merupakan sekolah yang mencapai markah terbaik di Terengganu.

Imtiaz menggabungkan pengajian daripada pelbagai sukatan pelajaran, dan merupakan sekolah agama pintar yang pertama (dan satu-satunya setakat ini) di Malaysia. Selain asas agama MEWUJUDKAN PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA YANG BERPRESTASI TINGGI yang menyeluruh, pelajar digalakkan untuk mendalami pengajian mereka secara holistik; mempelajari kemahiran insaniah yang diperlukan oleh negara, menguasai pelbagai bahasa dan pelbagai bidang ilmu, selain membina keperibadian mereka. “Kami juga menerima pakai inisiatif Persekitaran Pembelajaran Maya (1BestariNet) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan menjadikannya sebahagian daripada etos sekolah,” terang Abdul Wahab.

Imtiaz turut memupuk kemahiran berfikir aras tinggi dan kemahiran penyelesaian masalah dalam kalangan pelajar, dengan menggunakan hal-ehwal semasa yang berlaku di dunia sebagai alat bantu pengajaran. “Kami mahu pelajar kami mempunyai pengetahuan ensiklopedik juga, agar mereka dapat bersaing pada peringkat global.”

Setelah menjadi sekolah kerajaan pada tahun 2007, Imtiaz dibuka kepada pelajar di seluruh Malaysia, dengan hanya 60 peratus enrolmen dari Terengganu, untuk meningkatkan pendedahan pelajar kepada rakan sebaya di seluruh negara. Pelajar Imtiaz berasal daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, walaupun pelajar miskin diberi keutamaan.

Abdul Wahab amat bersyukur dengan adanya inisiatif KPM yang disasarkan untuk memajukan pelajar dan juga sekolah. “Setiap perkembangan atau inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh KPM, saya cuba menerimanya dan menyesuaikannya untuk kegunaan sekolah. Misalnya, kami menggunakan Rakan Pembimbing Pembangunan Prestasi Sekolah (SIPartner+), yang kami dapati agak berguna, dan juga Jurulatih Pakar Pembangunan Prestasi Sekolah (SISC+). Kini kami sedang melaksanakan Program Dwibahasa (DLP), yang dirangka untuk meningkatkan kecekapan pelajar dalam bahasa Inggeris.”

“Saya berbesar hati kerana berpeluang memperkenalkan sekolah ini kepada khalayak yang lebih luas, dan kami berharap dapat menjadikan Imtiaz sekolah terbaik di Malaysia. Kami merancang untuk memajukan jenama Imtiaz kepada pendidikan tinggi. Harapan kami pada tahun 2020, kami juga akan mempunyai kolej dan universiti Imtiaz.”

Sumber Asal: Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan 2015

Shares Share Kategori : Success Stories