26 April, 2016

Para Guru Memainkan Peranan Penting


cikgu fadzli

Cikgu Fadzli Mohd Saleh, Penyelaras Tahun 6 dan guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Bandar Utama Damansara (4), sentiasa merasakan bidang perguruan ialah kerjaya yang sesuai untuk dirinya. “Sayalah yang mendidik dan menjaga adik-adik saya dahulu, kerana ibu dan bapa saya bekerja,” jelas beliau.

Walaupun semasa menjadi guru muda di kawasan bandar, Fadzli masih lagi dipandang tinggi. Guru diandaikan berkebolehan dalam semua bidang, jadi beliau kerap diundang seperti tokoh setiap kali aktiviti kemasyarakatan dianjurkan. “Saya fikir apabila saya semakin berumur, dan pindah ke tempat lain, keadaan itu akan berubah. Namun, selepas 20 tahun kemudian pun, rasa hormat masyarakat terhadap saya tidak surut. Saya masih dipanggil ‘Cikgu’ dan bukannya nama saya.”

Meskipun penghargaan terhadap profesion perguruan mungkin semakin surut, Fadzli percaya ia bergantung pada setiap guru dan bagaimana mereka memainkan peranan dalam masyarakat. “Jika guru tersebut dapat memenuhi jangkaan tinggi yang diharapkan oleh masyarakat padanya, maka rasa hormat akan diberikan kepadanya.”

Fadzli turut merasakan pelajar zaman ini masih lagi menghormati guru, walaupun dengan cara yang agak berbeza. “Mereka menganggap guru lebih sebagai rakan mereka, dan bukannya sebagai orang yang lebih tua daripada mereka. Inilah sesuatu yang perlu ditangani dengan bijak oleh setiap guru. Ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam menentukan bagaimana anak mereka melayan guru,” jelas beliau dengan terperinci.

Di samping itu, Fadzli percaya bahawa profesion perguruan sememangnya kian menarik minat dan menjadi antara profesion pilihan. “Daripada pengalaman saya di sekolah, banyak guru, kalaupun bukan sebahagian besarnya, menceburi profesion ini kerana mereka inginkannya. Sesetengahnya menggunakan perguruan sebagai batu loncatan ke arah kerjaya lain dalam profesion ini (seperti menjadi pensyarah atau pakar bidang); yang lainnya ingin terus menjadi guru sekolah.”

Walau bagaimanapun, wujud keperluan untuk membuatkan orang ramai melihat kerjaya guru sekolah sebagai profesion yang disegani, sama seperti pekerjaan dalam sektor swasta, misalnya doktor atau arkitek. “Semakin lama, guru semakin digesa untuk berperanan sebagai pendidik juga. Peranan ini turut melibatkan usaha mendisiplinkan pelajar, agar mereka menjadi anggota masyarakat yang berhemah, dan bukan sekadar memberikan mereka dengan fakta. Ibu bapa dan masyarakat umum sepatutnya menyedari hakikat ini.”

Cikgu Zakaria bin Muhammad, guru besar sekolah tersebut, turut bersetuju. “Guru memainkan peranan yang amat penting dan memikul tanggungjawab yang sangat besar; usaha dan pencapaian kami sepatutnya dihargai oleh masyarakat. Inilah sebabnya mereka yang ingin menjadi guru mesti benar-benar mempunyai kecenderungan yang kuat dan mempunyai iltizam yang tinggi untuk melakukan pekerjaan tersebut. Tanpanya, mereka akan berasa sukar untuk menangani cabaran yang ditempuh setiap hari.”

Namun, semua ini akan mendapat ganjaran yang setimpal pada akhirnya. “Sebagai orang yang beragama Islam, perguruan merupakan profesion yang sangat mulia. Kekayaan duniawi tidak dapat dibandingkan dengan rasa terima kasih, doa dan ucapan selamat daripada pelajar saya kerana saya telah mengajar mereka dengan baik,” Fadzli menyatakan. Fadzli menghargai inisiatif KPM untuk melahirkan lebih banyak guru berkemahiran tinggi dan meningkatkan daya tarikan profesion ini. “Semua inisiatif ini, iaitu menambah autonomi pelbagai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), program Jurulatih Pakar Pembangunan Prestasi Sekolah (SISC+), Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) dan sebagainya, amat berfaedah untuk guru. Tentu sekali kami perlu menggunakan semua peluang ini untuk memajukan kerjaya kami sendiri.”

cikgu zakaria

Zakaria merupakan seorang daripada ramai guru besar yang bakal meraih manfaat di bawah inisiatif Tawaran Baharu, yang menyediakan pemimpin sekolah yang berkaliber tinggi dan para guru dengan pelbagai insentif. Beliau menyatakan pemimpin sedemikian biasanya perlu mempamerkan kebolehan mereka melalui prestasi yang tinggi . Ini meningkatkan lagi motivasi pengetua dan guru besar seperti beliau untuk mempertingkatkan prestasi sekolah masing-masing. Sekolah ini, contohnya, telah menunjukkan peningkatan berterusan dalam keputusan UPSR untuk tiga tahun berturut-turut, dan kami yakin dapat mencapai status SBT dalam masa beberapa tahun yang akan datang.”

Kedua-dua guru ini berasa bangga dengan pencapaian pelajar mereka, dan dapat mengingati berapa banyak pelajar mereka yang menyapa dan memanggil mereka di kawasan awam apabila berjumpa secara tidak sengaja. “Peratusan pelajar yang berbuat demikian mungkin tidaklah tinggi, tetapi kalau ada beberapa orang yang mengingati dan menghargai apa yang kami lakukan, ianya sudah mencukupi, kerana itu bermakna kami telah meninggalkan kesan kepada kehidupan mereka ,” ujar Zakaria.

Sumber Asal: Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan 2015

Shares Share Kategori : Success Stories