26 April, 2016

Perkhidmatan Pergigian Yang Unik


unnamed

Bagi kebanyakan orang, berjumpa doktor gigi sentiasa menimbulkan perasaan bimbang atau gerun. Dalam usaha menjadikan perkhidmatan pergigiannya berbeza daripada yang lain, Patang Saharing telah mendapat idea untuk membuka klinik gigi yang memberikan suasana tenang dan selesa dalam bentuk spa. “Dental Spa dibuka untuk menggalakkan budaya penjagaan kesihatan gigi serta menghapuskan stigma ketakutan dan kegerunan yang selalu dikaitkan apabila kita pergi ke klinik gigi. Selalunya, ketakutan dan kegerunan timbul kerana keadaan atau suasana di kebanyakan klinik sama seperti di hospital dan kadang kala, keadaan klinik gigi di luar bandar yang tidak mempunyai kelengkapan yang cukup.”

“Apabila pesakit lebih tenang, lebih senang untuk merawat dan mereka akan menjadi selesa dan tidak lagi takut untuk kerap datang ke klinik bagi mendapatkan rawatan.”

Imej positif perkhidmatan pergigian yang julung-julung kali ditawarkan oleh Dental Spa mendapat sambutan hebat, dengan bilangan pesakit yang datang semakin hari semakin meningkat. Maka, Patang merancang untuk membuka satu rangkaian Dental Spa di seluruh Sabah, dan akhirnya, ke seluruh Malaysia.

“Pada masa sekarang, hanya ada lapan klinik gigi termasuk klinik gigi kerajaan di Tawau yang memberi perkhidmatan kepada lebih 400,000 orang penduduk. Kami memang tidak dapat memenuhi keperluan penjagaan kesihatan gigi yang kian bertambah.”

“Di Dental Spa, setiap hari kami terpaksa menolak permintaan sembilan orang pesakit kerana kami tidak mampu memberi layanan yang diminta atau diperlukan.”

Patang menjelaskan bahawa kejayaannya adalah hasil program TERAJU SUPERB yang memberikan pengalaman bermakna dan telah memperkenalkan beliau kepada ramai usahawan inovatif, jurulatih dan mentor yang memberi inspirasi kepadanya supaya berfikiran kreatif dan melakukan sesuatu yang inovatif.

“SUPERB tidak saja membantu saya mengenalpasti peluang-peluang yang ada tetapi juga mengetahui peluang mana yang patut direbut. Penekanan yang ditegaskan dalam aspek perwatakan diri, perkhidmatan dan produk yang ditawarkan kepada pelanggan, telah membantu membentuk saya menjadi usahawan yang sangat berkeyakinan seperti hari ini.”

Pada tahun 2015, disebabkan permintaan yang semakin bertambah dan sambutan baik dalam pasaran, Dental Spa berpindah ke premis yang lebih besar serta dilengkapi peralatan dan mesin yang serba lengkap. Langkah tersebut merupakan permulaan usaha perkembangan Dental Spa. “Saya sedang memikirkan cara bagaimana melahirkan suasana kerja yang lebih selesa bagi kakitangan saya supaya mereka boleh menghadapi cabaran yang pasti timbul dalam proses perkembangan perniagaan.”

Sumber Asal: Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan 2015

Shares Share Kategori : Success Stories